KUALA LUMPUR: Teringin melalui detik indah wanita yang melahirkan zuriat sendiri, juara musim ketiga Gegar Vaganza (GV3), Azharina Azhar mengaku mengambil suntikan hormon bagi membolehkan dia menyusukan bayi kesayangan, Rahmat Azharin Aziz yang dipelihara sejak dilahirkan, dua tahun lalu.
Berkongsi pengalaman, Azharina berkata, berat badannya naik mendadak sehingga 70 kilogram selepas mengambil suntikan hormon.
“Berat badan saya naik mendadak daripada 56 kilogram kepada 70 kilogram. Demi menghasilkan susu badan, saya terpaksa menyuntik hormon dan mengikut rutin ditetapkan doktor selama setahun,” katanya kepada BH Online.
Azharina atau mesra disapa Nina berkata, dia terpaksa mengambil ubat setiap dua jam selain menjamah nasi dalam kuantiti banyak bagi membolehkan tubuhnya menghasilkan susu.
“Setahun saya menanggung kepayahan ini. Malah, pada suatu tahap, darah keluar banyak. Akibat kesan ubat, saya cepat jadi panas dan mudah muntah-muntah,” katanya.
Bercerita mengenai Rahmat yang dilahirkan pada 30 September 2014, bayi itu adalah anak sepupunya.
“Rahmat sebenarnya ada tiga ibu susuan. Selain ibu sendiri, adik saya juga menyusukan Rahmat.
“Setiap minggu, adik saya terbang dari Sabah ke Kuala Lumpur bagi menyusukan Rahmat. Kami mengambil keputusan menyusukan Rahmat supaya apabila dia dewasa, tidak terbatal wuduknya dengan kami jika mengikut syariat,” katanya.
Biarpun terpaksa bersusah-payah, Azharina tidak pernah mengeluh. Di sebalik semua itu, Nina menyifatkan hidupnya lebih indah dengan kehadiran Rahmat.
“Rahmat menjadi pelengkap hidup saya,” katanya.
-BH Online