Jenayah

Tahan anak lelaki mangsa bunuh

Kota Bharu: Polis menahan anak lelaki warga emas yang dibunuh dalam kejadian samun di Kampung Kuala Gris, Dabong, Kuala Krai, Isnin lalu.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Senior Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, lelaki berusia 35 tahun itu ditahan di rumah berkenaan jam 12.02 tengah malam kelmarin.

Katanya, dia direman tujuh hari bermula semalam sehingga 27 Disember untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Dia ditahan bagi membantu siasatan secara terperinci kes itu dan sama ada mempunyai pembabitan secara langsung atau tidak.

“Penahanannya dibuat selepas kami dapati dia ada kecenderungan memanipulasikan fakta kejadian. Jadi siasatan lanjut dilakukan,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, semalam.

Din berkata, selepas kejadian, lelaki itu menghilangkan diri dan pulang ke rumahnya beberapa jam kemudian.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Rohani Musa, 60, ditemui mati dalam keadaan terikat kaki, tangan dan mulut di rumahnya oleh anak lelaki berusia 35 tahun kira-kira jam 1.30 pagi, Isnin lalu.

Mayat dibawa ke Hospital Kuala Krai (HKK) dan kematian disahkan berpunca akibat lemas selepas ditekup.

Dalam kejadian samun itu, mangsa bersendirian di rumah selepas anak lelakinya keluar untuk menonton perlawanan bola sepak di kedai berhampiran.

Suspek melarikan motosikal Yamaha RXZ di ruang tamu, barang kemas dan dompet mangsa.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");