Sukan Hari Ini

Tak mahu ganggu: Annuar

Kota Bharu: Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa enggan mengulas sebarang isu berkaitan badan induk berkenaan kerana tidak mahu mengganggu keputusan yang bakal diambil.

Annuar berkata, beliau hanya boleh bertindak sebagai penyokong pasukan The Red Warriors (TRW) dan untuk itu, adalah lebih baik sekiranya tidak mengulas apa-apa.

“Saya tidak ada lagi dalam KAFA dan tidak mahu mengganggu sebarang keputusan yang bakal dibuat persatuan itu terutamanya berkaitan dengan penaja.

“Selain itu, KAFA bakal mengadakan kongres luar biasa pada 29 Disember nanti, jadi biarlah apa saja keputusan yang dibuat, diputuskan kongres,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Walimatul Urus Qubra 2016, di Masjid Ayesya, Kok Lanas, di sini, semalam.

Dalam perkembangan lain, menerusi akaun Facebook miliknya, Annuar berkata Kelantan sebenarnya boleh berbangga kerana pasukan itu dibangunkan dari bawah oleh sukarelawan yang terdiri daripada rakyatnya sendiri.

“Kita punya hubungan baik dengan semua dan kita tidak mencampuri cara orang lain menguruskan diri mereka. Kita dengan cara kita walau sememangnya kita daif. Kita dididik cara Klate.

“Kita sering meminjamkan pemain, kita mengalah dalam perebutan pemain, kita menyokong orang yang kita fikir layak memimpin persatuan, kita membiarkan penghijrahan pemain ke pasukan lawan, cuma yang pasti kita boleh berkawan tapi tidak boleh disogok lawan,” katanya.

Beliau juga berharap KAFA dapat memberi dan membuka peluang kepada kepimpinan yang layak untuk menerajui tampuk kepimpinan persatuan itu.

“Selepas bertahun-tahun meraih kejayaan, tidaklah salah kita buka ruang pimpinan kepada sesiapa yang lebih baik dalam kalangan kita, rasanya itu lebih baik daripada saya menjadikan kejayaan pasukan sebagai hak peribadi.

“Justeru, biarlah jawatan terus terbuka kepada yang mahu. Namun hak untuk saya membantu, beri pendapat, berFacebook, menonton dan menjadi penyokong TRW adalah hak saya selama-lamanya sebagai anak Klate.

“Setakat mampu saya tetap membantu. Sebagai wakil rakyat tentulah saya menghargai suara rakyat…saya tidak memerintah. Saya naik turun bersama rakyat. Mereka berkuasa atas saya…selebihnya saya sentiasa bertawakal dan berserah pada Allah,” katanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");