Membawang Hari Ini

Tawaran masih ‘kencang’

Lagu nyanyiannya Mimpi Yang Tak Sudah sering diputarkan di radio dan menjadi siulan peminat, namun penyanyinya Ibnor Riza seakan-akan dipinggirkan daripada industri hiburan tanah air.

Ibnor, 55, mula mencipta nama menerusi lagu Meneka Dalam Kesamaran pada 1986.

Sejak itu, dia berterusan menghasilkan album sehingga jumlahnya mencecah 15 album termasuk album duet dengan Rohayu Majid dan Noraniza Idris.

Ibnor berkata, dia masih aktif menyanyi tetapi kehadirannya seakan-akan tidak dipedulikan industri muzik tempatan.

“Album saya antaranya Meneka Dalam Kesamaran (1986), Berdiri Seorang Perindu (1987), Rahsia Ukiran Duka (1989) dan Sudah Terluka Merindu Pula (1990).

“Dua album duet pula ialah Seindah Budimu Volume 1 dan Seindah Budimu Volume 2. Album terakhir saya ialah The Best of Ibnor Riza bersama Sony Music pada 2005 yang berjaya dijual sebanyak 25,000 unit.

“Lagu Mimpi Yang Tak Sudah ciptaan arwah Datuk Adnan Abu Hassan sememangnya kuat sehingga menenggelamkan lagu saya yang lain,” katanya.

Menurut Ibnor, stesen radio juga memilih memutarkan lagu itu membuatkan dia sukar meraih populariti dengan lagu lain.

“Saya juga jarang muncul di media mungkin kerana tiada cerita hangat yang nak diperkatakan. Jadi peminat sukar mengikuti perkembangan kerjaya seni saya,” katanya.

Ketika kegawatan ekonomi pada penghujung 1990-an, Ibnor memilih berkelana ke Brunei dan menjadi penyampai radio bersama stesen Pelangi, di sana.

“Saya menggunakan nama Zairi ketika bersiaran. Kadang-kadang saya menyanyi ketika bertugas membuatkan segelintir pendengar perasan saya adalah Ibnor Riza.

“Selepas itu saya mendapati jiwa saya kurang sesuai bekerja di radio dan ambil keputusan pulang ke Malaysia pada hujung 1999,” katanya.

Kepulangan ke tanah air juga bukan menjanjikan peluang yang mudah kerana keadaan ekonomi belum pulih sepenuhnya membuatkannya terpaksa melakukan pelbagai kerja.

“Saya terpaksa merangkak cari semula hubungan dalam bidang seni. Syukurlah Sony Music buka peluang untuk terbitkan album kompilasi saya.

“Pada mulanya saya berhasrat nak tampil dengan lagu baru tapi mereka syorkan keluarkan kompilasi kerana lebih mudah dijual.

“Saya tak putus asa keluarkan single berjudul Akulah Pencinta bersama MVM selepas itu tapi kurang diketahui peminat. Memang lagu Mimpi Yang Tak Sudah sangat berhantu,” katanya.

Bapa kepada penyanyi Puteri Noriza, 25, mengakui populariti lagu ini berjaya mengekalkan namanya dalam industri sehingga kini.

“Biarlah saya menyepi daripada publisiti asalkan undangan persembahan tak putus sampai sekarang.

“Jadi saya tak terasa terasing sangat dalam dunia seni kerana mempunyai ramai rakan seangkatan yang masih aktif menyanyi,” katanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");