Kuala Lumpur: Bekas juara remaja dunia, Goh Jin Wei mengesahkan kedudukannya selaku pemain perseorangan wanita terbaik negara apabila muncul juara Grand Prix (GP) Akhir Sirkit Kebangsaan dan berazam untuk lebih cemerlang dalam kejohanan yang bakal disertai tahun depan.
Jin Wei yang baru-baru ini memintas Tee Jing Yi dalam ranking dunia sekali gus muncul pemain nombor satu negara, meletakkan sasaran untuk menjuarai seberapa banyak kejohanan bertaraf Grand Prix (GP) Emas untuk musim 2017.
Dia yang menumpaskan Soniia Cheah Su Ya dalam perlawanan akhir di Stadium Juara, Bukit Kiara, 21-17, 21-12 semalam juga meletakkan sasaran untuk menempatkan diri dalam kelompok 25 terbaik dunia tahun depan.
“Kalau tengok kejohanan peringkat remaja, saya tidak bermain dengan baik. Namun, beberapa keputusan positif di peringkat senior terutama kejohanan GP Emas, saya berjaya melonjakkan kedudukan ranking saya ke tangga ke-32, jadi saya berpuas hati,” kata pemain berusia 16 tahun itu.
Jin Wei yang muncul juara remaja dunia tahun lalu berkata, apa yang dia perlu dilakukan sekarang adalah meningkatkan tahap kecergasannya untuk bersaing dengan pemain luar negara bagi tempoh yang lama di atas gelanggang.
“Jika bermain di pentas antarabangsa, ia bukan mudah. Perlawanan banyak berlanjutan ke set penentuan, jadi saya perlu tingkatkan kecergasan saya untuk kekal bersaing,” kata Jin Wei yang berterima kasih kepada semua pihak termasuk keluarga, jurulatih dan rakan sepasukan yang banyak memberi sokongan.
Sementara itu, Lim Chi Wing merangkul gelaran juara kebangsaan pertama selepas menewaskan Chong Yee Han dalam aksi final.
Tewas 4-21 di set pertama, Chi Wing bangkit memenangi set kedua 23-21 sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan sebelum menang 21-13.
Dalam aksi beregu lelaki pula, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi mengalahkan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani 11-21, 21-17, 21-17 manakala Chow Mei Kuan-Lee Meng Yen muncul juara selepas menundukkan Amelia Alicia Anscelly-Teoh Mei Xing 21-19, 21-14.
Tan Kian Meng-Lai Pei Jing muncul juara beregu campuran selepas mengalahkan Hoo Pang Ron-Shevon Lai Jemei 21-14, 21-10.
-Harian Metro