Jenayah

Tertipu SMS menang wang RM7,000

KLUANG – Teruja untuk mendapat sejumlah wang yang banyak secara mudah, seorang pengusaha tempe kerugian lebih kurang RM8,000 akibat terpedaya dengan khidmat pesanan ringkas (SMS) kononnya dia memenangi wang tunai RM7,000.

Mohd Yusof Shamsudin, 19, berkata, pada 22 Julai lalu, dia menerima SMS menyatakan bahawa nombor telefonnya terpilih melalui cabutan dan berjaya memenangi hadiah wang tunai.

Bagaimanapun, menurutnya, untuk mendapatkan wang itu, dia perlu mencukupkan nilainya kepada RM10,000 dan dikehendaki memasukkan sebanyak RM3,000 dalam akaun simpanannya sebelum memberikan nombor akaun tersebut kepada sindiket berkenaan.

“Apabila saya dah memasukkan sejumlah wang yang diminta, lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Mohd Nasrul Norsani itu membuat syarat tambahan. Dia mahu saya memasukkan RM2,000 lagi untuk proses pengeluaran wang yang saya menang itu.

“Namun setelah keseluruhan RM5,000 saya masukkan, barulah saya sedar ia satu penipuan kerana saya tak dapat sebarang wang yang dimaksudkan.

“Lelaki yang menggunakan loghat orang seberang itu pula terus menghilangkan diri selepas wang dalam akaun saya diambil,” katanya, semalam.

Jelasnya, selepas rasa ditipu, dia segera menutup akaun bank simpanannya dan membuka satu akaun baharu di bank yang sama pada 9 November lalu.

“Selepas membuka akaun baru pada keesokannya saya telah buat simpanan hasil jualan sebanyak RM3,000 dalam akaun tersebut, namun kira-kira tujuh hari kemudian lelaki yang sama kembali menghubungi saya, tapi saya tidak menjawabnya.

“Tak sampai satu jam selepas lelaki itu hubungi saya, duit yang baru saya simpan dalam akaun baru itu turut lesap dan berbaki RM29 sahaja. Saya rasa hairan bagaimana lelaki tersebut boleh tahu nombor akaun baru saya ini,” katanya.

Mohd Yusof berkata, walaupun menyedari kesilapan pertama disebabkan kecuaiannya, namun kehilangan RM3,000 dalam akaun yang baru dibuka menimbulkan tanda tanya dan dia mengesyaki kemungkinan ada unsur sabotaj serta tidak bertanggungjawab pihak tertentu.

“Disebabkan kejadian itu, saya telah buat dua laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang.

“Saya berharap orang ramai tidak mudah tertipu dengan SMS yang meragukan, terutama sekali mengenai peraduan yang menawarkan hadiah lumayan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap cawangan Komersial IPD Kluang, ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan tersebut dan siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti mereka yang terlibat dalam kes penipuan berkenaan.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");