Berita Hari Ini

Tiada kompromi bagi penuntut sertai kumpulan ekstrim, sesat

JERTIH: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak akan bertolak ansur dengan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang didapati terbabit dalam kegiatan ekstrim dan ajaran sesat, termasuk mereka yang belajar di luar negara.

Menteri, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata KPT sentiasa bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen bagi mengesan pelajar terbabit dalam kumpulan tertentu yang boleh merosakkan imej negara.

Katanya, kementerian juga akan mengesyorkan kepada pihak terbabit supaya mengetatkan pengeluaran visa kepada pelajar yang ingin menuntut di luar negara, supaya hanya pelajar yang benar-benar bersih daripada sebarang aktiviti haram dibenarkan belajar di luar negara.

Beliau berkata, kementerian tiada halangan jika agensi terbabit mengambil tindakan terhadap pelajar bermasalah.

“Kita serahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa keselamatan untuk menentukan status pelajar sebelum mereka dibenarkan mendapat visa,” katanya mengulas penangkapan dua penuntut Universiti Antarabangsa Al-Madinah (MEDIU), di Shah Alam, Selangor oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana disyaki terbabit dengan kumpulan pengganas Daesh.

Ahli Parlimen Besut itu yang ditemui pada Program Kelestarian Alam Sekitar Bersama Komuniti: Rawatan Air Menggunakan Bebola Lumpur di Kuala Besut di sini, hari ini, berkata sehingga kini KPT tidak mengetahui jumlah pelajar IPT yang disoal siat PDRM berkait dengan isu pengganas Daesh.

Sementara itu, Idris memuji usaha pelajar Politeknik Kota Bharu, Kelantan, yang berjaya menghasilkan bebola lumpur untuk meningkatkan tahap kebersihan dan kualiti air yang kotor.

Katanya, projek pertama dilancarkan itu menguji tahap kebersihan air dalam longkang dan dalam tempoh seminggu bebola itu dimasukkan ke dalam longkang, air akan menjadi bersih dan jernih.

-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");