Membawang Hari Ini

Tiada lagi episod duka

Di kala dirinya pernah berasa putus harap dalam karier seni ditambah dengan episod duka dalam kehidupan, ternyata perancangan Yang Esa buatnya begitu indah.

Kini Along Cham, 33, cekal mengatur langkah dalam kariernya. Masih selesa dengan status pelakon dan pelawak, kini Along atau Muhammad Nizamudin Ahmad mula dikenali sebagai penyampai radio.

Along bersyukur kerana perjalanan hidup dan kariernya kembali teratur. Kini celotehnya dapat didengar setiap hari bermula jam 6 hingga 10 pagi di stesen radio Best FM. Dia juga tidak sendirian kerana berganding dengan DJ Zairi untuk menceriakan slot Best FM Ajen Pagi.

“Saya tahu ia bukan tugas mudah dan keputusan pulang ke kampung halaman adalah paling tepat. Ketika saya tercari-cari arah untuk bernafas, ternyata tindakan kembali ke pangkuan keluarga langkah terbaik.

“Meskipun kini tidak lagi menetap di Kuala Lumpur, Johor Bahru adalah nadi kehidupan saya yang baru. Apatah lagi hanya beberapa minggu saja tirai 2017 akan menjelma. Tiada lagi episod luka yang perlu dikenang,” kata bapa tunggal seorang anak, Ahmad Danial, 5.

Mengenai tugasnya sebagai penyampai radio, Along berkata menerusi slot Best FM Ajen Pagi, ada beberapa segmen menarik. Antaranya ramalan kaji cuaca bersama Mr Ragu Ragu, lagu emosi, petua bersama Wak Caples, eh eh pagi dan lagu parody.

“Apapun, saya baru beberapa bulan menggalas tugas ini. Belum banyak pengalaman dan saya masih lagi belajar. Harap pendengar Best FM tak jemu dan sudi memberi saya peluang untuk memperbaiki setiap kelemahan,” katanya.

Selesa dengan status solo, Along berusaha memberi hiburan terbaik buat pendengar Best FM. Dia juga mahu aktif beraksi dalam bidang lakonan dan sedia mempertimbangkan sebarang tawaran diterima.

Kata Along, dia juga dalam proses mempersiapkan diri untuk kemunculan ‘Along Cham’ yang baharu. Besar kemungkinan ada pihak yang bertindak sebagai konsultan pengurusan untuk karier seninya.

“Apapun, saya juga mengucapkan terima kasih kepada peminat yang masih setia memberi sokongan. Dari awal kemunculan saya dulu hinggalah badai gelora datang menguji diri, masih ada peminat menyokong di sisi.

“Terus-terang, anda (peminat) adalah kekuatan semangat saya untuk kembali meneruskan perjuangan ini. Biarpun saya sedar harus berhadapan persaingan bakat baru yang bercambah umpama cendawan tumbuh, tak mengapa,” katanya.

Cukup dikenali menerusi filem Adnan Sempit bersama Shaheizy Sam, Along amat yakin dengan rezeki Tuhan. Dia enggan berbicara sedikit pun mengenai kisah lalunya yang perit.

Katanya, kini dia ada misi yang cerah untuk 2017. Mengapa perlu dikenang lagi perkara yang sudah berlalu.

“Pada saya, lebih baik teruskan hidup ini dengan peluang baru. Kebajikan ibu bapa dan anak saya paling utama. Sebagai anak dan bapa, kebahagian mereka adalah kegembiraan saya.

“Jangan ditanya lagi kisah lalu kerana saya selesa tidak menjawabnya. Kini, saya sudah ada haluan hidup sendiri,” katanya.

Along melafazkan cerai talak satu terhadap isteri, penyanyi Zila (AF4) atau Nur Azilah Seeron, 28, di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling pada 29 Ogos lalu.

Hak penjagaan kekal anak mereka yang kini berusia lima tahun diberikan kepada Along dan Zila diberi hak lawatan selama dua hari dalam sebulan. Pasangan selebriti itu berkahwin pada Januari 2010.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");