Sukan Hari Ini

Tindakan ‘nakal’ Harbuzi

Petaling Jaya: Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi mengakui pihak pengurusan masih belum membayar bonus kemenangan kepada pemain musim lalu seperti mana didakwa bekas pemain import mereka Labinot Harbuzi.

Bagaimanapun beliau menegaskan tindakan Harbuzi untuk membawa kes berkenaan ke pengetahuan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebagai ‘nakal’ kerana perbincangan mengenai pembayaran bonus itu sudah dimaklumkan sebelum ini.

“Memang kita ada janji untuk memberikan bonus kewangan dan urusan pembayaran ini kami sudah maklumkan kepada pihak ejen pemain, tapi dalam hal ini Labinot tidak berhubung dengan ejen, jadi ini perbuatan yang nakal.

“Kami akan bayar cuma apabila kantung kami kosong sedikit di hujung tahun. Kami sedia untuk menyelesaikan bayaran itu apabila mendapat duit. Masalahnya bukan hanya dia saja yang tidak menerima duit bonus ini tapi semua pemain masih belum dapat.

“Jika dia cakap sudah membuat aduan kepada FIFA, kami tunggu sajalah,” katanya ketika ditanya pemberita pada sidang media majlis undian pusingan kelayakan Liga Futsal Kebangsaan semalam.

Harbuzi, 30, dari Sweden menerusi akaun Twitter mendakwa Melaka United masih berhutang dengannya dan kes itu kini sudah dibawa ke FIFA.

Pemain tengah menyerang itu hanya beraksi semusim bersama Melaka dan kontraknya tidak diperbaharui sebaik tamat November lalu.

Sementara itu, Yusoff mengesahkan MUSA belum mengikat sebarang kontrak dengan pemain Selangor R Gopinathan dan Zaquan Adha Abd Radzak dari Johor Darul Ta’zim (Johor DT).

“Memang ada penaja sanggup membayar Gopinathan tapi dia masih ada kontrak dengan Selangor jadi kena selesaikan kontraknya dulu.

“Kami memang ada membuat tawaran juga kepada Zaquan dan terpulang kepada dia untuk menerima atau sebaliknya,” katanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");