PUTRAJAYA: Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) menyasarkan 70 peratus tenaga pengajar di Institut Pendidikan Guru (IPG) berkelulusan Ijazah Kedoktoran (PhD) menjelang tahun 2025.
Ketua Jabatan Pengurusan Kualiti dan Keutuhan IPGM, Dr Azma Mahmood berkata, setakat ini pihaknya mempunyai 431 pensyarah IPG berkelulusan PhD.
“Kita menjangkakan lebih ramai lagi tenaga pengajar IPG mempunyai kelulusan tertinggi selaras dengan transformasi yang dilakukan,” katanya.
Menurutnya, transformasi IPG merangkumi perancangan jangka panjang bagi tempoh 10 tahun menerusi lima teras utama iaitu transformasi kepimpinan dan organisasi, penyusunan semula kampus, kualiti pensyarah, penyelidikan dan persekitaran pembelajaran.
“Pelan pelaksanaan Transformasi IPG telah disediakan oleh pakar perunding antarabangsa, Parthenon – Ernst & Young (EY) dan mendapat kelulusan Mesyuarat Susulan Jemaah Menteri pada September 2015.
“40 inisiatif telah dikenal pasti untuk dilaksanakan dalam tiga peringkat selama 10 tahun,” katanya.
Beliau berkata, peringkat pertama melibatkan 18 inisiatif yang dilaksanakan pada 2016 sehingga 2017.
“Peringkat kedua melibatkan tahun 2018 sehingga 2020 dengan perlaksanaan 15 inisiatif,” katanya.
Dr Azma berkata, peringkat ketiga yang akan bermula pada tahun 2021 sehingga 2025 mempunyai tujuh inisiatif.
Pelaksanaan inisiatif-inisiatif Transformasi IPG ini dipantau oleh Unit Pelaksanaan & Prestasi Pendidikan (PADU) dan dibantu dengan Pejabat Pengurusan Transformasi (TMO) IPG yang ditubuhkan di IPGM sejak Ogos 2016.
Menurutnya, pada tahun pertama peringkat 2016-2017, 10 daripada 18 inisiatif yang telah digerakkan berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan bagi tahun semasa.
“8 lagi inisiatif pada peringkat pertama akan terus digerakkan bagi mencapai sasaran menjelang 2017.
“Apabila maktab perguruan dinaik taraf kepada IPG pada tahun 2008, ia mula menawarkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP).
“Program pengajian peringkat ijazah sarjana masih dalam peringkat perancangan untuk dilaksanakan di IPG,” katanya.
Cabaran Transformasi IPG
Dr Azma yang juga Ketua Jabatan Pengurusan Kualiti dan Keutuhan IPGM berkata, warga IPG perlu berfikir secara positif dan bersatu untuk menyokong agenda perubahan demi masa depan pendidikan negara.
Menurutnya, warga IPG juga perlu menjadi ejen perubahan dan bersama-sama memacu transformasi organisasi menjadi institut perguruan yang unggul.
“Transformasi IPG adalah seiring dengan anjakan keempat dalam Pelan Pembangunan Pendidikan dan bertepatan dengan transformasi pendidikan negara.
“Latihan keguruan di IPG bertujuan melahirkan guru-guru yang berkualiti bagi meningkatkan standard pendidikan negara yang dapat memenuhi keperluan pendidikan di abad ke-21 ini”, katanya.
Beliau berkata, peranan IPG pada masa kini selaras dengan visi dan misinya.
“Visi IPG ialah menjadi peneraju kecemerlangan pendidikan guru manakala misinya ialah melahirkan guru yang kompeten dan berjiwa pendidik ke arah pendidikan sekolah bertaraf dunia,” katanya.
Dr Azma berkata, IPG merupakan pusat latihan dan pembekal utama guru-guru sekolah rendah di seluruh negara.
“IPG juga turut menjalankan kursus dalam perkhidmatan untuk guru bagi meningkatkan profesionalisme keguruan,” katanya.
-Sinar Harian