Jenayah

Ulat parkir dikesan bawa senjata tajam

GEORGETOWN: Sudahlah meminta duit secara haram daripada pemilik kenderaan, malah ulat parkir turut dikesan membawa beberapa peralatan tajam.

Demikian pendedahan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengenai tingkah laku individu didapati mengutip wang tempat letak kereta secara haram yang turut dikenali sebagai ulat parkir.

Ulat parkir dipercayai meminta bayaran tempat letak kereta secara paksa daripada pemilik kenderaan, sedangkan kebanyakan petak letak kereta MBPP hanya menggunakan kupon.

Ahli Majlis MBPP, Ahmad Azrizal Tahir berkata, orang ramai perlu menjauhi kumpulan tersebut kerana mereka dipercayai turut membawa pisau lipat, gunting dan senjata tajam lain.

“Senjata kecil ini digunakan untuk merosakkan kenderaan milik orang ramai yang enggan membuat bayaran kepada mereka.

“Mereka dipercayai mencalarkan kereta sesuka hati. Memang terjadi kerana kita ada menjumpai senjata ini pada Orang Kena Tangkap (OKT) yang dicekup ketika mengutip wang parkir secara haram,” katanya.

Justeru, beliau berharap orang ramai dapat mengambil langkah berjaga-jaga ketika meletakkan kenderaan masing-masing.

“Jangan takut-takut untuk hubungi polis mahupun MBPP sendiri apabila ada ulat parkir meminta bayaran daripada anda,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Azrizal berkata, seramai 60 pengutip wang parkir secara haram dicekup bermula Januari hingga November lalu melalui operasi dijalankan MBPP, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan.

Katanya lagi, MBPP juga telah meletakkan sebanyak 18 papan tanda amaran mempunyai nombor telefon pejabat MBPP dan balai polis bermula November lalu untuk memberi amaran kepada orang ramai mengenai kegiatan itu.

“Jangan buat bayaran jika mereka minta. Jika beri wang diminta, ia menggalakkan lagi kewujudan atendan parkir haram ini. Kami mahu anda hubungi kami sekiranya kes sebegini berlaku,” katanya.

Antara lokasi panas termasuk Lorong Macalister, Persiaran Gurney, Jalan Masjid Kapitan Keling, Bukit Bendera, Lebuh Pantai dan Lorong Kulit.

Pada Disember 2014, sembilan individu dihadapkan ke Mahkamah Trafik dan mengaku bersalah kerana mengutip bayaran letak kereta tanpa izin di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Akibatnya, masing-masing didenda RM500 dan sekiranya gagal, boleh dipenjarakan 10 hari.

Beberapa hari sebelum itu, seorang lelaki berusia 52 tahun dipukul seorang ulat parkir di Bukit Bendera selepas enggan membayar wang seperti diminta.

Lelaki itu dipukul menggunakan helmet, walaupun pada awalnya dia mengatakan parkir di situ adalah percuma di bawah seliaan Bukit Bendera.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");