Jenayah

Umrah kelentong

Kuala Terengganu: Jumlah keseluruhan pakej umrah ditawarkan bernilai RM6,990 seorang, tetapi bagi menarik perhatian setiap pesertanya hanya perlu membayar RM3,000 manakala selebihnya dibiayai penaja.

Begitulah tawaran pakej umrah Yayasan Bakti Negeri Terengganu (YBNT) dan dipercayai memperdayakan 4,800 mangsa dengan jumlah kerugian RM14.2 juta.

Difahamkan, yayasan berkenaan dipercayai turut memperdayakan Jabatan Pendidikan Negeri untuk membolehkan mereka masuk ke sekolah dan mengadakan aktiviti sebelum mendekati guru bagi menawarkan pakej terbabit sejak Jun lalu.

Lebih malang apabila siasatan polis terhadap akaun bank digunakan yayasan berkenaan mendapati wang dipercayai dibayar peserta terbabit tidak digunakan untuk tempahan pakej umrah sebaliknya digunakan bagi tujuan pelaburan lain.

Kegiatan itu terbongkar selepas polis menahan dua individu iaitu pengarah eksekutif dan akauntan yayasan berkenaan masing-masing berusia 28 tahun di Jertih, Isnin lalu.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rosli Ab Rahman berkata, kedua-dua lelaki berkenaan ditahan selepas polis menerima laporan daripada agensi pelancongan dilantik bagi menguruskan penerbangan peserta terbabit.

Menurutnya, hasil laporan itu pihaknya melakukan serbuan ke premis pejabat yayasan itu di Besut dan merampas 18 pasport milik mangsa, komputer riba, dua unit telefon bimbit dan beberapa dokumen bagi membantu siasatan.

“Pemeriksaan terhadap satu daripada tiga akaun anak syarikat yayasan terbabit mendapati ada transaksi wang masuk keseluruhannya RM14.2 juta dipercayai dibayar mangsa,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Menurutnya, semakan mendapati wang berkenaan dikeluarkan menerusi beberapa cek dan secara tunai.

Katanya, pihaknya mengesan tujuan wang berkenaan dikeluarkan dari akaun, tetapi siasatan mendapati ia untuk pelaburan.

“Setakat ini kami menerima 48 laporan polis daripada 47 individu dan sebuah agensi pelancongan yang mendakwa menjadi mangsa penipuan yayasan berkenaan.

“Yayasan berkenaan bijak menggunakan saluran bagi mencari peserta apabila melakukan kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri bagi menawarkan pakej berkenaan.

“Modus operandi yayasan terbabit dengan menghantar surat tawaran dan maklumat berkaitan pakej y kepada Jabatan Pendidikan Negeri untuk menarik penyertaan guru,” katanya.

Berikutan itu, katanya, pihaknya memanggil Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri untuk membantu siasatan.

Menurutnya, pihaknya juga mendapatkan maklumat daripada pengarah terbabit mengenai aktiviti yayasan berkenaan.

Rosli berkata, hasil pemeriksaan mendapati yayasan itu tidak didaftarkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");