DI sebalik kemenangan 1-0 ke atas Tottenham Hotspur dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi semalam, ada cerita kurang menggembirakan Manchester United.
Ini kerana Henrikh Mkhitaryan bakal terlepas dua perlawanan United selepas ini apabila mengalami kecederaan ketika perlawanan itu.
Mkhitaryan yang muncul wira United apabila menjaringkan gol tunggal untuk membantu The Red Devils mencipta kemenangan terpaksa diusung keluar selepas kecederaan pergelangan kaki selepas diterjah Danny Rose pada minit ke-85.
Untuk rekod. jaringan kemenangan Mkhitaryan adalah gol sulungnya dalam aksi EPL sejak tiba dari Borussia Dortmund dan gol keduanya untuk kelab selepas menewaskan Zorya 2-0 dalam aksi Liga Europa.
Pengendali United, Jose Mourinho yang sedih dengan berita itu berkata, Mkhitaryan perlu berehat ketika United berkunjung ke Crystal Palace dan West Brom.
“Saya berpendapat dia akan terlepas perlawanan seterusnya tetapi kecederaannya tidak terlalu serius.
“Kami berharap dapat menurunkan dia dalam perlawanan bertemu Sunderland,” katanya,
United kekal 13 mata di belakang pendahulu Chelsea, untuk menduduki tangga keenam dengan mengutip 24 mata.-sinar harian