Isu Panas

Viral: Ahli parlimen DAP gagal kuasai bahasa Melayu

BUKIT MERTAJAM – Gambar 10 Ahli Parlimen DAP yang didakwa tidak mampu menguasai dan memahami bahasa Melayu dengan baik merupakan serangan lapok bertujuan memburuk-burukkan pemimpin DAP terutama sekali pada pandangan khalayak Melayu.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berkata, gambar terbabit yang menjadi viral sejak beberapa hari lalu di laman sosial menunjukkan pihak lawan ketandusan idea selain menggunakan propaganda murahan untuk tutup kelemahan sendiri.

“Secara peribadi, saya hanya ketawa apabila melihat serangan lapuk sebegini yang hanya bertujuan untuk memburuk-burukkan pemimpin DAP.

“Tetapi kadangkala, kita perlu jawab tomahan dan fitnah yang dilakukan mereka supaya orang ramai akan faham dan lihat nilai modal murahan mereka,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Selain beliau yang dinamakan, ahli parlimen DAP lain yang dikaitkan Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng; Ahli Parlimen Kuching, Chong Chieng Jen; Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa; Ahli Parlimen Tanjong, Ng Wei Aik; Ahli Parlimen Ipoh Timur, Su Keong Siong dan Ahli Parlimen Kampar, Dr Ko Chung Sen.

Turut berada dalam senarai itu adalah Ahli Parlimen Stampin, Julian Tan Kok Peng; Ahli Parlimen Sarikei, Eonh Ling Biu dan Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Ye.

Steven Sim berkata, kenyataan Tun Dr Mahathir baru-baru ini dalam Persidangan DAP ke-50 membuktikan DAP parti pelbagai kaum yang memartabatkan Perlembagaan termasuk Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

“Sebenarnya sudah cukup untuk menjawab tomahan Umno selama ini terhadap DAP.

“Penguasaan bahasa setiap ahli parlimen termasuk dari BN, termasuk jemaah menteri sudah tentu berbeza-beza. Justeru, usah guna modal murahan sebegini untuk serang DAP,” katanya.

Steven Sim berkata, sekiranya Umno mahu berbincang soal bahasa Melayu juga, tidak perlu membuat kerja propaganda murahan dalam internet.

Beliau mencabar mana-mana pemimpin BN mahupun Menteri yang bertanggungjawab ke atas Dewan Bahasa dan Pustaka untuk debat terbuka tentang dasar bahasa Kebangsaan.

“Tarikh, masa, tempat biar mereka yang tentukan.

“Saya sedia menyahut sama ada mahu berbahas, berpuisi, berseloka biar kita buat secara berhemah,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");