Sukan Hari Ini

Waktu tak sesuai

Kuala Lumpur: Bekas pelari pecut negara, Nazmizan Muhamad menggesa Majlis Sukan Negara (MSN) mempertimbangkan pemergian barisan atlet pecut negara ke Australia pada Februari ini.

Ia berikutan tarikh yang dianggap kurang sesuai apabila mereka perlu kembali ke tanah air untuk menyertai Terbuka Malaysia – kejohanan terakhir bagi melayakkan diri ke Sukan SEA Kuala Lumpur sebulan selepas itu.

Nazmizan berkata, berdasarkan pengalamannya sebagai bekas atlet negara, latihan di Australia itu membuatkan jadual latihan atlet tidak teratur dan akan menyukarkan atlet negara kerana perlu bersedia untuk Terbuka Malaysia.

“Sepatutnya, proses menghantar atlet berlatih di luar negara perlu berlaku pada Oktober lagi. Bukan tahun depan.

“Tahun depan sudah terlambat. Mereka sudah tidak punya banyak masa kerana Sukan SEA pada Ogos. Kita mempunyai barisan atlet berkualiti tapi mengapa perlu disimpan. Itu yang membuatkan saya tidak faham.

“Atlet seperti Khairul (Hafiz Jantan) dan Badrul (Hisyam Manap) perlu pendedahan di luar negara berlatih dan bersaing dengan mereka yang berkualiti, baru ada peningkatan,” katanya.

Bekas jaguh Asia Tenggara itu berkata, jika dulu ramai yang mempersoalkan siapa pengganti Watson Nyambek, kini apabila negara sudah memiliki barisan pelari berbakat, usaha untuk mengembangkan bakat mereka pula diabaikan.

Nazmizan yang pernah pernah meraih emas Sukan SEA 2003 Hanoi dan menjadi pelari ketiga negara menyumbangkan emas dalam acara itu turut kecewa apabila barisan atlet pecut tidak dihantar menjalani latihan di Amerika Syarikat seperti dirancangkan sebelum ini.

Biarpun mengakui mungkin ada kekangan kewangan namun tidak wajar menjadikan faktor usia pengendali trek Santa Monica, Joe Douglas yang berusia 80 tahun sebagai alasan.

Katanya, ilmu diraih antara perkara penting yang perlu dipelajari atlet muda negara untuk menimba pengalaman berharga terutama ketika mereka dalam proses pemulihan sebelum musim pertandingan bermula.

“Amerika Syarikat tempat paling sesuai untuk atlet pecut. Mereka banyak menghasilkan pelari berbakat malah ramai pelari Jamaica sendiri berpangkalan di sana.

“Atlet Thailand, Sri Lanka, Arab Saudi juga berlatih di sana dan kita pula memilih untuk ke Australia ketika negara itu tidak mempunyai rekod pelari yang berjaya di pentas dunia dalam acara pecut,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");