Jenayah

Waspada runtuhan kedua

Shah Alam: Penduduk di Jalan Raja Abdullah, Seksyen 9, di sini, dinasihatkan sentiasa berwaspada berikutan kawasan di sebuah rumah di taman perumahan itu didapati mengalami mendapan tanah yang teruk, semalam.

Tinjauan Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) Selangor mendapati mendapan itu mengakibatkan tebing bukit berdekatan kediaman berkenaan runtuh sehingga mengganggu sebahagian daripada laluan kenderaan.

Difahamkan, runtuhan pada awal bulan itu berpunca daripada takungan air dalam tanah, namun ia tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa setakat ini.

Pegawai Operasi Kanan Unit STORM negeri Mohd Saiful Munir Mohd Isa berkata, pihaknya menasihatkan penduduk setempat mengambil langkah berjaga-jaga ketika melalui kawasan itu kerana dikhuatiri berlaku runtuhan kedua.

“Berdasarkan hasil pemantauan, mendapan tanah itu mengakibatkan tanah di bahagian tebing perumahan berkenaan mengalami keretakan dan runtuh.

“Namun, pada waktu ini, jalan berdekatan masih selamat untuk digunakan dan pihak berwajib turut sudah menerima laporan mengenai kejadian itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan di kawasan itu hasil aduan awam, semalam.

Menurut Mohd Saiful, sebahagian jalan berkaitan sudah ditutup dengan menggunakan kon sebagai tanda amaran kepada orang ramai.

“Saya berharap penduduk sekitar tidak mengalihkan kon itu untuk keselamatan pengguna jalan raya lain dan menghubungi pihak berkuasa sekiranya berlaku runtuhan lain,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, walaupun belum ada runtuhan lain, dia berharap pihak berkaitan dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelak keadaan sama berlaku.

“Saya cuma mahu penduduk lain berwaspada ketika menggunakan jalan berdekatan kerana belum mengetahui status sebenar runtuhan,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");