JITRA: Penyanyi Yabang Khalifah yang popular dengan lagu Hang Pi Mana akan menghangatkan Pesta Orkid dan Flora di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Napoh.
Pengarah Urusan BMC Venture, Syed Mohd Asri Syed Mothar berkata, persembahan Yabang akan berlangsung pada malam ini jam 9 malam.
“Kami amat mengalu-alukan kedatangan semua peminat Yabang di utara khususnya orang Kedah untuk bersama-sama menyaksikan persembahan Yabang pada malam ini,” katanya.
Menurutnya, selain persembahan artis jemputan, pada petang 16 Disember turut diadakan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak sekolah rendah.
“Pertandingan ini mempunyai dua kategori iaitu, kategori A untuk kanak-kanak yang berusia 5 hingga 9 tahun. Manakala kategori B untuk kanak-kanak berusia 10 hingga 12 tahun.
“Pertandingan ini akan bermula pada jam 5 petang dan pendaftaran boleh dibuat pada bila-bila masa kepada urusetia secara percuma.
“Acara kemuncak pesta akan berlangsung pada 18 Disember nanti termasuk acara cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah istimewa kepada pengunjung yang bertuah,” katanya.
Syed Mohd Asri berkata, orang ramai yang masih belum berkesempatan berkunjung ke pesta berkenaan, masih belum terlambat untuk berbuat demikian.
“Datanglah beramai-ramai untuk mendapatkan pelbagai jenis orkid, pokok buah-buahan dan herba yang dikumpulkan dari seluruh negara serta luar negara.
“Program ini bukan sahaja tertumpu kepada tanaman orkid, tetapi kita juga bawa bersama anak pokok buah-buahan seperti anggur, rambutan, mangga, jambu dan nangka,” katanya.
-Sinar Harian