Perak Hari Ini

Zaquan Adha Sah Milik The Bos Gaurus

IPOH: Mohd Zaquan Adha Abd Radzak, 29, kini sah menjadi milik pasukan The Bos Gaurus untuk memperkuatkan barisan pemain pada musim akan datang.

Bekas penyerang Johor Darul Ta’zim II (JDT II) itu sebelum ini mula menempa nama bersama Pasukan Negeri Sembilan sebelum bersama JDT pada tahun 2014.

Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata, Zaquan Adha telah menandatangani perjanjian menyertai pasukan Bos Gaurus pagi tadi.

“Secara dasarnya, terbaru yang kita telah tandatangan pagi tadi adalah Zaquan Adha.

“Dengan kehadiran Zaquan dan beberapa pemain baru ini, kita meletakkan harapan tinggi yang mana dalam liga kita meletakkan sasaran tidak kurang daripada nombor tiga dan untuk kejuaraan sekurang-kurangnya kita sasarkan satu piala,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Kongres Tahunan ke-58 PAFA di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kehormat PAFA, Jamal Mohd Aris.

Ujarnya, masih ada dua kekosongan dalam pasukan untuk diisi dan pihaknya sedang mengenalpasti pemain yang layak.

“Dalam masa terdekat ini kita akan nilai balik mungkin ada negeri-negeri lain yang akan melepaskan pemain, kita akan cuba dapatkan.

“Dari segi import kita telah mengenalpasti seorang lagi pemain… Mungkin selepas Krismas kita akan namakan sebab Weigang (jurulatih Perak) sekarang berada di luar negeri dan beliau telah mengenalpasti pemain tersebut,” katanya lagi.

The Bos Gaurus sebelum ini telah berjaya mendapatkan Khairul Amri Salehuddin (Pulau Pinang), Jaszrin Jamaludin (JDT); Mohd Nazrin Mohd Nawi (JDT), Mohd Shahrom Abdul Kalam (Selangor), Mohd Hafiz Kamal (Selangor), Idris Ahmad (Felda United) serta beberapa muka baru dari pasukan lain.

Pasukan itu turut mengikat dua pemain import baharu iaitu Vladislav Mirchaev (OFC Nesebar) dan Yashir Armando Pinto Islame (Melaka United).

Sementara itu, mengulas mengenai kongres yang diadakan pada hari ini, beliau berkata, pihaknya akan cuba mencari dan mengembangkan bakat dalam bola sepak di peringkat daerah.

“Baru-baru ini untuk Piala Presiden pun kita telah membuat pemilihan di peringkat daerah dan sudah ada 1,500 orang hadir yang mana ia merupakan satu jumlah yang besar.

“Cuma kongres mencadangkan kalau boleh kita buat kejohanan di bawah 17, 15 dan 12 tahun. InsyaAllah mungkin kita akan laksanakan pada tahun ini dalam usaha supaya lebih ramai pemain yang bergerak di peringkat lebih awal,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");