Berita Hari Ini

11 ketua rundingan TPPA berbincang

KUALA LUMPUR: Ketua Rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik dari 11 negara akan saling berhubung untuk menentukan hala tuju seterusnya, susulan keputusan muktamad Amerika Syarikat (AS) menarik diri daripada kerjasama terbabit.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, menyifatkan tindakan Presiden baharu AS, Donald Trump yang menyebabkan TPPA berkubur bukan keputusan mengejutkan kerana janji itu kerap disuarakan ketika berkempen.

Sehubungan itu, Mustapa berkata, Malaysia akan terus memantau perkembangan semasa berhubung dasar perdagangan AS, selain memperkukuhkan kerjasama dengan institusi perniagaan di negara kuasa besar berkenaan menerusi perjanjian perdagangan dua hala dan hubungan strategik ekonomi.

“Perubahan situasi perjanjian ini tidak mengubah hakikat AS kekal menjadi kepentingan Malaysia sebagai rakan dagang ketiga terbesar dan menjana sumber pelaburan paling banyak.

“Seperti saya maklumkan pada Forum Ekonomi Dunia di Davos (Switzerland) baru-baru ini, Malaysia akan memperkukuhkan integrasi ekonomi rantau ASEAN dengan meningkatkan usaha untuk memuktamadkan Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

“Alternatif lain turut merangkumi inisiatif menjalin Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan ahli TPPA yang sebelum ini tiada hubungan dagangan dengan Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

RCEP merangkumi 10 negara ASEAN, selain rakan dagangan serantau iaitu China, Jepun, Korea Selatan, Australia, New Zealand dan India.

Semalam, Trump menandatangani arahan eksekutif sebagai Presiden AS yang antara lain menyaksikan penarikan diri negara berkenaan daripada TPPA kerana perjanjian itu didakwa sekadar pencetus bencana terhadap ekonomi tempatan, selain menjejaskan kepentingan rakyatnya.

Selaras hala tuju baharu Malaysia dalam meningkatkan urusan perdagangan, Mustapa memberi jaminan kepentingan rakyat di negara ini tidak akan terjejas sebelum sebarang perjanjian dimuktamadkan.

“Malaysia akan terlepas pelbagai peluang susulan kegagalan TPPA kerana kajian awal menunjukkan kita mampu meraih manfaat daripada perjanjian ini tanpa menjejaskan kepentingan dan dasar Bumiputera sedia ada,” katanya.

INFO

* 12 negara terbabit dalam rundingan TPPA

* AS mewakili 60 peratus Kadar Keluaran Negara Kasar (KDNK) keseluruhan ahli TPPA

* Syarat minimum TPPA, 6 negara dengan kekuatan KDNK 85 peratus daripada keseluruhan ahli TPPA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");