BALIK PULAU: Dua ‘mat rempit’ mengaku bersalah di Mahkamah Majistret hari ini, atas tuduhan menunggang motosikal secara merbahaya di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, pada 21 Januari lalu.
Tertuduh, Muhammad Ridhwaan Zulkiflee, 19, dan rakannya yang berumur 17 tahun, membuat pengakuan itu selepas tuduhan dibacakan di depan Majistret Nur Azzuin Abdul Moati.
Mereka dituduh menunggang motosikal secara melulu serta mendatangkan bahaya kepada orang awam di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, pada jam 3 pagi, 21 Januari lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000.
Nur Azzuin menetapkan 21 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kepada Muhammad Ridhwaan bagi menunggu penyerahan laporan sosial, manakala 16 Mac kepada rakannya bagi penyerahan laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Nur Azzuin turut menetapkan jaminan RM1,500 kepada Muhammad Ridhwaan dan RM1,000 kepada remaja bawah umur terbabit.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Mahadi manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
-BH Online