Sukan Hari Ini

3 penjaga gol T-Team ‘rebut’ posisi utama

KUALA TERENGGANU: Tiga penjaga gawang T-Team kini bersaing hebat bagi merebut tempat selaku penjaga gol utama pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Posisi terakhir The Titans itu ‘kosong’ selepas dua penjaga gawang utama musim lalu, Wan Azraie Wan Teh berhijrah menyertai Pahang manakala Ilham Amirullah Razali memilih untuk menyarung jersi Felda United musim ini.

Kekosongan posisi itu kini menjadi rebutan penjaga gol ketiga T-Team musim lalu, Mohd Izzuddin Hussin, Mohd Suhaimi Husin (Hanelang FC) dan bekas penjaga gawang Terengganu serta DRB Hicom, Mohd Hafidz Romly.

Penolong jurulatih T-Team, Mohd Azhari Salim, berkata peluang ketiga-tiga penjaga gawang itu untuk merebut status penjaga nombor satu pasukan musim ini masih terbuka.

Menurut Mohd Azhari, pihaknya tidak menghadapi masalah besar di benteng terakhir pasukan, sekalipun kehilangan Ilham Amirullah dan Wan Azraie yang lebih kerap diturunkan musim lalu.

“Ketiga-tiga penjaga gawang yang ada sekarang mempunyai kekurangan dan kelebihan masing-masing, menyukarkan saya untuk memilih pemain nombor satu yang akan mengawal benteng terakhir pasukan.

“Tidak dinafikan, kita sudah ada bayangan pemain mana yang akan menggalas tugas selaku penjaga gawang utama musim ini, tapi bergantung kepada prestasi semasa dalam latihan,” katanya.

Mohd Azhari berkata, pihaknya menguji ketiga-tiga penjaga gol itu dalam perlawanan pra musim yang diadakan di Lembah Klang tempoh hari dan mereka mempamerkan persembahan terbaik.

Katanya, prestasi tiga penjaga gawang itu pastinya memberi kesukaran kepada ketua jurulatih, Rahmad Darmawan dalam memilih kesebelasan utama menjelang perlawanan pembukaan musim ini.

“Mungkin Rahmad mempunyai perancangan dan taktikal tersendiri. Jadi, saya harap siapa pun pilihan diturunkan dalam kesebelasan utama nanti, mereka harus memperagakan aksi terbaik,” katanya.

-BH Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");