Jenayah

32 kaki judi mengaku salah

Seremban: Seramai 32 individu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan bermain judi di sebuah pusat karaoke di Taman AST di sini, minggu lalu.

Semua tertuduh terdiri daripada 23 lelaki tempatan dan sembilan wanita warga Vietnam berusia antara 19 hingga 45 tahun mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Rahim Rahim.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bermain judi bertaruhkan wang di sebuah pusat karaoke di Taman AST di sini, pada jam 1.15 petang, 30 Disember lalu.

Berikutan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 setiap seorang sementara mendapatkan fakta kes dan menetapkan 10 Januari ini untuk jatuh hukum.

Sementara itu, tiga pemilik premis Woon Kai Xuan, 29; Liew Fat Yoong, 42; dan Lim Kok Leong, 49, juga mengaku bersalah atas tuduhan menggunakan premis sebagai tempat perjudian terbuka yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1)(a) akta sama.

Mereka juga dibenarkan ikat jamin RM1,500 setiap seorang dan mahkamah menetapkan tarikh sama untuk sebutan semula kes.

Selain itu, dua wanita Vietnam iaitu Phan Thu Trinh, 24, dan Tran Thi My Van, 27, mengaku bersalah atas tuduhan mengikut Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa di negara ini.

Seorang lagi wanita Vietnam, Nguyen Thi Ngoc Hoang, 40, mengaku tidak bersalah atas tuduhan memiliki permit, pas dan dokumen perjalanan palsu mengikut Seksyen 56(1)(l) akta sama.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sara Afiqah Zulkipli manakala semua tertuduh diwakili Paul Krishnaraja.

-Harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");