Jenayah

49 PATI dalam bas persiaran ditahan

AYER KEROH: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Melaka menahan sebuah bas persiaran dinaiki seramai 49 warga Indonesia dalam Ops Bersepadu Tahun Baharu Cina di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh arah utara di sini, malam tadi.

Difahamkan, bas yang dipandu lelaki tempatan berusia 23 tahun itu dalam perjalanan dari Johor Bahru ke beberapa destinasi lain bagi menurunkan warga asing terbabit, sebelum ditahan dalam sekatan jalan raya, kira-kira jam 10 malam.

Setiausaha Majlis Keselamatan Jalan Raya (MJKR) negeri, Datuk Ghafar Misdar, berkata siasatan awal mendapati semua warga Indonesia berusia antara 19 hingga 45 tahun itu dibawa dari Tanjung Pengelih, Johor dan sepatutnya dihantar ke beberapa destinasi tertentu.

“Semua warga asing yang menggunakan pas lawatan ini mendakwa mereka datang ke negara ini untuk melawat keluarga, namun pemeriksaan dilakukan anggota Jabatan Imigresen mendapati semua pasport mereka ada pada pemandu bas, termasuk nombor telefon tekong, sekali gus menimbulkan kecurigaan.

“Pemandu bas ini ditugaskan untuk menghantar warga Indonesia berkenaan ke beberapa destinasi tertentu, paling jauh hingga ke Parit Buntar, Perak,” katanya ketika ditemui selepas operasi itu. Operasi selama tiga jam bermula jam 9 malam yang disertai seramai 75 anggota daripada pelbagai agensi, termasuk polis, SPAD, Jabatan Imigresen dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) itu memeriksa lebih 500 kenderaan, termasuk lori, bas dan teksi.

Turut menyertai operasi, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR), Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

Ghafar berkata, bas berkenaan disita kerana gagal mengemukakan permit kenderaan, manakala semua warga Indonesia terbabit ditahan Jabatan Imigresen negeri.

“Mereka disiasat mengikut Seksyen 56A (a) Akta Imigresen 1959/63 kerana mempunyai niat untuk melakukan kesalahan.

“Bas persiaran itu pula antara tiga bas yang disita kerana gagal mengemukakan permit kenderaan dan melanggar syarat lesen kerana membawa motosikal. Kes disiasat mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010,” katanya.

-BH ONline

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");