Membawang Hari Ini

Aamir Khan naik 25 kilogram

Aamir Khan, 51, terkenal dengan sikapnya yang sangat mementingkan kesempurnaan dalam setiap filem lakonannya dan sanggup menambahkan berat badan hampir 25 kilogram semata-mata untuk menghidupkan watak sebagai ahli tinju dalam filem lakonan terbaru, Dangal.

Pengorbanan aktor berkenaan amat berbaloi kerana sejak filem itu ditayangkan di seluruh India pada 23 Disember lalu, kutipan tiket sudah mencecah hampir RM20 juta.

Dangal adalah filem yang digarap daripada kisah benar mengenai seorang petinju legenda India iaitu Mahavir Singh Phogat yang secara tegas melatih dua anak gadisnya, Geeta Phogat dan Babita Kumari untuk menjadi peninju sehingga kedua-duanya menang pada Sukan Komanwel 2010. Pada tahun itu Geeta muncul pemenang pingat emas (55 kilogram) wanita pertama daripada India dan Kumari pula menang pingat perak (51 kilogram).

Kegigihan si bapa untuk menjadikan anak-anaknya petinju yang berjaya dengan melakukan begitu banyak pengorbanan amat menyentuh hati penonton. Mahavir tidak dikurniakan anak lelaki untuk mewarisi legasinya dalam dunia tinju lalu dia meletakkan harapan terlalu tinggi terhadap dua anak perempuannya. Kesungguhan Mahavir itu secara tidak langsung mengikis prejudis masyarakat India yang tempat kaum wanita hanya di ceruk dapur.

Penampilan dua lagi pelakon dalam filem itu, Aparshakti Khurana dan Girish Kulkarni, walaupun hanya diberikan peranan kecil tetapi memberi impak yang besar kepada emosi penonton.

Filem arahan Niteish Tiwari itu dicetak sebanyak 4,300 untuk pasaran domestik dan 1,000 untuk pasaran luar negara. Dangal turut dilancarkan secara besar-besaran di Amerika Utara, Timur Tengah, United Kingdom dan Australia.

Selain kehebatan lakonan Aamir, Dangal juga amat bernasib baik kerana tiada filem baru lain turut dilancarkan pada tarikh sama lantaran itu momentum jualan tiketnya tidak akan terganggu.

Watak Geeta ditangani dengan baik sekali oleh aktres Fatima Sana Shaikh dan Kumari dimainkan Sanya Malhotra. Filem itu adalah terbitan Aamir Khan Productions bekerjasama dengan Walt Disney Pictures dan UTV Motion Pictures.

Muzik untuk filem itu digubah Pritam dan lirik dikarang Amitabh Bhattacharya. Aamir turut menggunakan khidmat jurulatih tinju, Kripa Shankar Bishnoi dan pasukan petinju wanita India untuk melatihnya, Fatima dan Sanya.

Menumpukan kepada watak Aamir, sebelum penggambaran filem itu, Aamir menggunakan khidmat pakar pemakanan, Dr Nikhil Dhurandhar bagi menyediakan rutin dietnya untuk menambah berat badannya dan kemudian menurunkannya semula kepada berat asal.

“Saya masih mengikut gaya lama dengan mengira kalori untuk kekal tegap. Untuk menguruskan badan, 50 peratus bergantung kepada pemakanan yang diambil, 25 peratus bersenam dan 25 peratus lagi waktu rehat yang cukup. Saya mempunyai masa yang singkat untuk menguruskan badan sebab itu saya perlu tegas dengan diri sendiri tetapi orang lain jangan ikut cara saya,” katanya.

Sebelum penggambaran Dangal, Geeta dan Kumari diterbangkan dari Haryana yang terletak di utara India untuk berjumpa Aamir di Mumbai kerana aktor itu perlu tahu keseluruhan gaya hidup mereka dulu dan sekarang. Aamir juga banyak menonton program tinju bagi mendalami sukan itu yang sebenar.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");