Membawang Hari Ini

Aidilfitri percaya kekuatan Aku Haus Darah Mu

JIKA dilihat penerimaan penonton terhadap industri perfileman di Malaysia, genre seram antara karya yang digemari ramai, selain komedi, aksi dan romantis.

Bagaimanapun kebanyakan penerbit dan pengarah lebih senang menghasilkan filem seram yang dimodenkan termasuk ada yang memotret hantu dalam filem seram sama seperti gambaran penggiat filem luar negara.

Justeru, demi memberi kelainan dan pada masa sama mengangkat kembali filem seram klasik, Aidilfitri Mohamed Yunos mempertaruhkan filem terbaru arahannya Aku Haus Darah Mu.

Filem ini mengisahkan Lia, seorang ahli antropologi dan dua rakannya yang mengembara ke pedalaman Malaysia untuk merakam tarian suku.

Apabila mereka tiba di sebuah perkampungan kecil yang diuruskan oleh seorang wanita dan pembantunya, perkara aneh dan menyeramkan mula berlaku.

Berkongsi pembikinan filem ini, Aidilfitri berkata, dia sudah lama menyimpan impian untuk mengarahkan filem seram seperti ini. Sementelah lagi dia dibesarkan dengan filem seram seperti Rahsia dan Misteri Rumah Tua.

“Sejak kecil, saya amat meminati filem seram dan selalu habiskan masa menonton filem ini di depan TV bersama keluarga.

“Jadi apabila mula aktif dalam bidang seni, saya terfikir untuk menghasilkan filem seram bercorak klasik seperti tahun 80an.

“Bagi memastikan semua elemen klasik ada dalam cerita ini, saya masukkan semua elemen lama seperti jalan cerita, latar belakang dan juga dari segi suntingan yang lebih straight cutting.

“Malah saya pastikan prop yang menunjukkan zaman itu seperti kereta, tempat, lagu yang menepati era 80an,” jelasnya.

Selain itu, kata Aidilfitri, satu koreografi tarian untuk aktres Deanna Yusof turut direka khas.

“Kami masukkan unsur-unsur haiwan di dalam tarian itu seperti ular agar nampak berbeza dan pada masa sama ada unsur seram,” ujarnya.

Biarpun menghasilkan sebuah filem seram, Aidilfitri berkata, dia tidak berdepan sebarang masalah termasuk gangguan mistik sepanjang penggambaran.

Katanya, pelakon juga diberi tempoh hampir dua bulan untuk membuat persiapan dan latihan termasuk menghafal koreografi tarian.

“Alhamdulillah kami tidak berdepan sebarang masalah atau gangguan. Mungkin kerana persiapan sudah dibuat lebih awal dan penggambaran juga dapat diselesaikan dalam tempoh 15 hari sahaja.

“Malah saya juga mementingkan keselesaan, keselamatan dan kebajikan pelakon.

“Tidak dinafikan ada sesetengah penggiat filem memilih menjalani penggambaran di lokasi rumah terbiar atau tempat keras untuk mendapatkan kesan yang lebih seram.

“Tapi saya rasa apa yang penting pelakon selesa sepanjang penggambaran,” ujarnya.

Biarpun memilih untuk menghasilkan sebuah filem seram klasik, Aidilfitri berkata, dia yakin dengan kekuatan filem ini.

“Sebagai pengarah, tentu saya berharap filem ini mendapat sambutan.

“Saya harap penonton memberi peluang pada filem ini, tonton dahulu dan rasailah kelainan filem ini,” akhirinya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");