Membawang Hari Ini

Ain belum puas hati

Menjadi anak didik Raja Azura menerusi program Bintang Mencari Bintang pada 2013 ternyata mengubah corak hidup Ain Sufia Othman.

Bersama gandingannya Filzah Azmi, mereka yang dikenali sebagai Awok meredah cabaran bersaing dengan peserta lelaki seperti Achey, Titan, Bocey, Xoxo dan ramai lagi.

Walaupun gagal beroleh kejayaan yang diharapkan, graduan Sarjana Muda Teknologi Kreatif (Teater) dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam ini gembira kerana dapat membuka lembaran baru dalam kariernya.

“Sebelum itu, saya banyak terbabit sebagai tenaga kerja di belakang tabir produksi dan berlakon teater.

“Apabila Raja Azura mencari protege, saya memberanikan diri mencuba nasib walaupun saya bukanlah pelawak.

“Saya akui Awok gagal menyerlah berbanding peserta lain, tapi BMB adalah satu platform yang tepat untuk memperkenalkan kami kepada orang ramai,” katanya.

Pengalaman yang ada kemudian dibawa pula menyertai Maharaja Lawak Mega 2016 bersama Ayie, namun hanya mampu bertahan sehingga minggu kedua sebelum tersingkir.

“Program ini masih diulang siar di Astro dan secara tak langsung peminat dapat kenal saya. Peluang berlakon juga banyak diterima antaranya menerusi drama Menantu Ting Tong, Sri Bulan, Teman Lelaki Upahan dan terbaru Transit Terakhir.

“Saya bukan buat watak komedi semata-mata kerana dalam Menantu Ting Tong contohnya, saya bawakan watak Hawa yang sering menangis.

“Saya juga dah berlakon dua filem iaitu Suatu Malam Kubur Berasap 2 dan Perjanjian Syaitan,” katanya yang mahu bergelar pelakon versatil.

Lumrah sebagai manusia apabila Ain, 30, mengakui masih belum berpuas hati dengan apa yang dikecapinya sekarang. Kadang-kadang dia beremosi mengenangkan untung nasibnya sebagai anak seni.

“Memang terasa juga kerana usia semakin meningkat sedangkan karier pula belum betul-betul sukses, manakala jodoh pun belum tiba.

“Tipulah kalau saya kata tak nak mengikut contoh Jihan Muse yang kini ada segala-galanya. Saya sentiasa cari peluang untuk menggilap nama dalam bidang ini.

“Syukur keluarga pun kuat menyokong. Alhamdulillah saya berjaya buktikan dapat bantu ibu bapa dengan hasil lakonan. Saya anggap jodoh lambat tiba kerana ini masanya untuk bantu keluarga,” kata anak sulung daripada lima beradik ini.

Dalam perkembangan lain, Ain kini bergelar penyampai radio online Starlive. Peluang ini diperoleh menerusi sesi uji bakat pada Ogos lalu.

“Setakat ini hanya saya dan Chot Xoxo penyampai Melayu yang bertugas di sini kerana selebihnya penyampai kaum Cina.

“Sebelumnya pasaran radio ini untuk pendengar Cina, tapi sekarang dikembangkan kepada pendengar Melayu pula.

“Saya hanya mencuba nasib dan tak sangka pula diterima baik pendengar. Mungkin pengalaman sebagai pengacara majlis sebelum ini banyak membantu,” katanya.

Ain bertugas pada Selasa hingga Khamis daripada jam 4 hingga 6 petang menggunakan nama VJ Ain.

“Biasanya saya akan bertugas berseorangan dan sesekali akan ditemani tetamu undangan terdiri daripada artis dan personaliti tertentu.

“Saya tak ambil mudah apabila bergelar penyampai dengan rajin membaca berita mengenai perkembangan semasa.

“Begitu juga dengan latar belakang seseorang artis kerana saya akan buat rujukan terlebih dahulu sebelum menemubual mereka di studio,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");