Membawang Hari Ini

Amerul Affendi bina madrasah

NAMA Amerul Affendi barangkali tidaklah segah hero pujaan masa kini dari segi populariti, namun jika hasil kerja yang menjadi perhitungan, pelakon ini berada sebaris dengan nama-nama besar dalam dunia lakonan.

Lihat sahaja bagaimana dia berjaya mewarnakan karakternya dalam filem Tolong Awek Aku Pontianak, Bunohan, Terbaik Dari Langit, Polis Evo dan Pekak, di mana meski bukan sebagai pameran utama, Amerul tetap dilihat kerana keberkesanan watak dibawanya.

“Alhamdulillah saya sebenarnya bernasib baik kerana sering diberi peluang terlibat dengan naskhah-naskhah terbaik dan ia secara tidak langsung memberikan saya watak yang menarik juga.

“Rugilah kalau saya tidak melakukannya dengan sebaik mungkin kerana menerusi kerja sahajalah saya boleh meneruskan kelangsungan dalam bidang lakonan ini yang sebenarnya bukan mudah untuk menempatkan diri,” ujarnya yang pernah dinobatkan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-27 menerusi filem Terbaik Dari Langit.

Disebabkan kecenderungannya dalam bidang seni itu jugalah, Amerul kini sibuk membina sebuah madrasah di kampung halamannya, Temerloh, Pahang, dalam usaha untuk menghidupkan aktiviti kesenian di sana.

“Mungkin bila sebut madrasah, orang akan fikir ia lebih kepada aktiviti keagamaan. Namun saya mahu melakukan sebaliknya dengan pembinaan madrasah yang bakal dimeriahkan dengan aktiviti kesenian seperti teater, muzik dan sebagainya.

“Ketika ini, madrasah yang diusahakan bersama beberapa rakan saya ini sedang dalam pembinaan, insya-ALLAH jika segalanya berjalan lancar ia dapat beroperasi pada tahun ini juga.

“Pembinaannya mengambil sedikit masa kerana segala kosnya dari poket kami sendiri yang dikumpulkan hasil dari persembahan bersama Band Jawi dan penjualan produk Tradisi Jawi bersama-sama rakan,” akuinya yang juga terlibat dalam kerja-kerja pembinaan madrasah tersebut.

Sebelum ini, Amerul atau nama sebenarnya Mohd Amerul Affendi Mohd Mawardi, pernah meluahkan kekecewaannya di laman Twitter apabila namanya sering dipinggirkan oleh stesen TV meskipun namanya menjadi pilihan pengarah.

“Luahan itu sebenarnya bukanlah untuk menyatakan rasa tidak puas hati saya, sebaliknya sekadar memberikan jawapan kepada rakan-rakan pengarah atau penerbit yang mahu bekerjasama dengan saya tetapi hasrat itu tidak dapat direalisasikan kerana nama saya tidak lepas di stesen TV tertentu.

“Bukan maksud saya untuk mencari perhatian dengan cara yang begitu dan saya harap perkara itu tidak diperbesarkan lagi kerana saya sendiri tahu kedudukan saya dalam industri, malahan memahami kehendak serta selok belok industri seni tanah air,” katanya yang bakal muncul dengan telefilem terbaru, ‘Janji ALLAH’ tidak lama lagi.

Kurang tawaran

Begitu pun, kata Amerul, dia lebih suka melihat situasi itu dengan cara yang positif di mana setiap kali mendapat peluang untuk mengerjakan sesuatu naskhah, dia akan memberikan sehabis baik.

“Ada orang cakap, untuk pelakon yang kurang popular perlu ambil apa sahaja tawaran berlakon tak kiralah apa watak yang diberikan, namun saya tidak mengambil pendekatan yang sebegitu kerana bagi saya adalah penting untuk seseorang pelakon itu melihat kesesuaian watak yang diberikan.

“Bagi saya, sebelum menerima sesuatu tawaran itu, adalah penting untuk saya melihat kandungan naskhah tersebut dan apakah yang ingin disampaikan kepada masyarakat menerusi lakonan tu, walaupun hanya untuk satu babak saya tidak ada masalah untuk menerimanya.

“Memang saya seorang yang selektif meskipun tidak banyak tawaran yang datang kerana saya mahu memberikan sesuatu yang saya fikir boleh memberikan sesuatu kepada mereka yang menonton, soal rezeki saya serahkan sahaja kepada ALLAH SWT,” akuinya jujur.

Selain aktif dalam filem dan drama, mungkin ramai yang tidak tahu, Amerul juga sebenarnya cukup aktif di pentas teater, malah merupakan anak didik kepada pelakon Namron di mana pernah suatu ketika mereka cukup aktif di pentas teater.

“Selepas tamat pengajian di Aswara saya memang aktif berteater, malah saya bersama Namron dan beberapa lagi rakan yang lain menubuhkan Rumah Anak Teater dengan hasrat untuk memberi ruang kepada anak-anak muda yang berminat untuk menghasilkan karya seni mereka.

“Dalam tempoh beberapa tahun, banyak karya yang dapat kami kongsikan dan ketika itu memang rasa cukup seronok kerana kami dapat melakukan sesuatu yang kami suka dan dalam masa yang sama menyumbang sesuatu untuk seni,” imbasnya yang telah membintangi lebih 10 buah teater.

Dalam perkembangan lain, pelakon yang bakal muncul dengan filem terbarunya, Bikerz Kental dan One Two Jaga ini juga semakin aktif dalam dunia muzik apabila menganggotai kumpulan muzik Band Jawi yang aktif memperjuangkan lagu-lagu puisi.

“Sebenarnya sudah hampir empat tahun saya bermain muzik bersama Band Jawi, cuma semenjak kebelakangan ini sahaja semakin aktif dan banyak meluangkan masa membuat persembahan bersama mereka sebagai pemain percussion.

“Kami baru sahaja tampil dengan single bertajuk ‘Katanya’, karya vokalis kami sendiri, Wanji Aswandi yang kini boleh didapati di Spotify dan Itunes.

“Kami harap lagu-lagu berkonsepkan puisi ini turut mendapat perhatian yang sama di radio sebagaimana lagu-lagu yang lain,” katanya yang kini turut aktif dalam perniagaan produk kesihatan Tradisi Jawi.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");