Membawang Hari Ini

Amyra pengacara Muzik Muzik 32

Selepas muncul sebagai pengacara program Bintang RTM 2016 dan Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2016, pelakon Amyra Rosli diberi tanggunggjawab mengacara rancangan Muzik Muzik 32.

Jika musim terdahulu program berprestij itu dikendalikan Fara Fauzana dan Fizi Hot FM, kali ini Amyra bergandingan dengan bekas pengacara Pop TV iaitu Hefny Sahad.

Amyra atau nama sebenarnya Nur Amira Izzati Rosli, 26, menyifatkan pemilihannya itu sebagai satu cabaran besar apatah lagi program yang sudah tiga dekad bersiaran mempunyai pengikut tersendiri.

“Saya dapat tawaran ini sejak tahun lalu. Pada awalnya saya agak risau kerana Muzik Muzik sebuah program besar di TV3. Malah ia satu jenama yang tidak asing di persada seni tempatan.

“Saya menyahut cabaran diberikan dengan cuba memberikan yang terbaik. Memandangkan ia bersiaran secara langsung, jadi banyak perkara yang perlu diambil kira. Pengalaman yang ada sebelum ini saya gunakan sebaik mungkin.

“Saya beranggapan ini peluang keemasan untuk membuktikan bakat dalam bidang pengacaraan. Kalau bukan sekarang, bila lagi? Saya percaya peluang sebegini hanya datang sekali,” katanya.

Amyra berkata, bidang pengacaraan masih baru untuknya meski pernah mengendalikan beberapa program secara langsung.

Amyra yang juga pelakon drama Isteri Tuan Ihsan nekad untuk terus belajar bagi memperbaiki kelemahan dan kekurangan diri.

Belajar memasak

Berkongsi mengenai kehidupan rumah tangga bersama pelakon Amar Baharin, Amyra berkata dia perlu belajar memasak masakan Melayu.

“Minggu pertama perkahwinan kami, saya cuba memasak untuknya. Tapi ada masakan yang dia tak makan. Seminggu selepas itu baru saya memahami selera makannya iaitu masakan Melayu.

“Amar tak cerewet soal masakan tetapi dia mementingkan kombinasi lauk. Sejak itu saya belajar sedikit demi sedikit dan sekarang saya memasak berdasarkan permintaannya.

“Bagi saya cara sebegitu lebih mudah tanpa perlu membazir. Kalau ada masakan yang saya kurang mahir nak masak, mama jadi tempat rujukan,” katanya.

Pada masa sama, Amyra berkata Amar lebih suka makan di rumah. Jadi, mahu atau tidak dia perlu menyediakan makanan buat suaminya.

“Kalau bekerja, saya akan masak pada sebelah malam dan Amar hanya perlu panaskan keesokan harinya. Bagaimanapun, ia bergantung pada masa saya. Ada ketika dia tak bagi saya masak,” katanya.

Amyra turut menjelaskan sepanjang dua bulan meniti kehidupan sebagai suami isteri, dia banyak belajar mengenai diri Amar.

Selain itu, Amyra berkongsi sukar menerima keadaan apabila perlu tinggal berasingan dengan keluarga tercinta.

“Selama ini saya membesar dan tinggal bersama keluarga. Selepas berkahwin dan tinggal berdua dengan suami terasa janggal pula. Pada awalnya saya susah nak menerima kenyataan itu.

“Bukan apa selalunya di rumah saya ada ramai orang. Mujur suami jenis memahami dan dia banyak memberi kata-kata semangat.

“Apabila sudah biasa tinggal dengan keluarga, bukan mudah sebenarnya nak hidup berasingan. Memang mengambil masa untuk menyesuaikan diri,” katanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");