KLUANG: Seorang pekerja kilang kelapa sawit masih trauma dengan insiden tersepit di gerabak penuh muatan kelapa sawit dan hampir tertolak masuk ke dalam pengukus yang sedang mendidih pada 30 September lalu.
Menurut bapanya, Mohd Shahid Sihat, 64, akibat kemalangan di tempat kerja itu, anaknya, Mohamad Nor Afiq Mohd Shahid, 23, melecur di bahagian belakang kepala dan bahu kanan selain patah beberapa tulang rusuk.
Katanya, walaupun kejadian itu sudah lebih tiga bulan berlalu, anaknya masih trauma dan sering kali meracau.
“Kejadian berlaku kira-kira jam 4 pagi di kilang di Felda Kahang Timur. Semasa itu anak sedang masukkan buah kelapa sawit ke dalam pengukus. Tiba-tiba datang gerabak yang penuh muatan kelapa sawit lalu menghimpit belah kanan badan anak saya.
“Mujurlah rakan sekerja bertindak pantas menghentikan mesin dan menyelamatkannya daripada terus ditolak gerabak ke dalam pengukus, jika tidak keadaan pasti lebih teruk,” katanya ketika menerima kunjungan Adun Kahang, R Vidyananthan di kediamannya di Felda Ulu Dengar, dekat sini, semalam.
Hadir sama, Pegawai Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Cawangan Kluang, Zainurin Zakaria.
Mohd Shahid berkata, selepas kejadian itu, anaknya seakan hilang ingatan dan terlantar sehingga dia dan isteri terpaksa menemaninya.
Katanya, walaupun ketika kejadian anaknya dalam keadaan sedar, Mohamad Nor Afiq kini seolah-olah tidak tahu kemalangan yang menimpa dirinya.
“Sebelum ini, anak saya seorang yang ceria dan ringan tulang, namun kini dia tidak boleh melakukan apa-apa kerja. Saya hanya mengharapkan anak saya ini pulih seperti sedia kala walaupun mungkin dia mengalami kecacatan fizikal.
“Sekarang saya dan keluarga perlu beri sokongan moral kepadanya agar kuat kerana dia masih trauma dengan kejadian itu. Dulu dia hanya minum susu khas sahaja tapi sekarang dah boleh makan bubur,” katanya.
Mohd Shahid turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang datang menyalurkan sumbangan kepada anaknya itu termasuk memberikan bantuan kerusi roda.
-Sinar Harian