Jenayah
Like

Anggota polis maut dihempap makanan udang

January 23, 2017
45 Views
0 Comments
2 minutes read
Anggota polis maut dihempap makanan udang

BENTONG: Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal maut akibat dihempap dan ditimbus makanan udang yang terjatuh dari sebuah lori di Kilometer 41 Lebuh raya Kuala Lumpur-Kuantan menghala Bentong, malam semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 malam, ketika mangsa, Mohd Hafify Abu Bakar,30, bersama seorang lagi rakan setugas, Lans Koperal Zulkhairieey Zulkifli yang menunggang dua motosikal berasingan dalam perjalanan pulang ke Balai Bukit Tinggi, selepas melakukan rondaan cegah jenayah di Genting Sempah bersempena Op Selamat 10.

Bagaimanapun, sebuah lori yang membawa muatan guni makanan udang dikatakan hilang kawalan ketika melalui selekoh di lokasi kejadian menyebabkan muatan yang dibawa terbalik dan menghempap kedua-dua mangsa yang menunggang di kiri jalan arah sama.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohamad Nor, berkata lori itu kemudian terbabas ke dalam gaung sedalam kira-kira 400 meter.

“Mohd Hafify disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat dihempap dan ditimbus guni makanan udang, manakala Zulkhairieey patah pada bahagian bahu kanan dan masih dirawat di Hospital Bentong.

“Pemandu lori berusia 33 tahun hanya cedera ringan dan dirawat di hospital sama. Berat setiap satu guni makanan udang yang dibawa adalah 50 kilogram (kg) tetapi, jumlah berat sebenar masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, lokasi kejadian adalah kawasan mendaki dan mempunyai selekoh tajam dan ketika kemalangan berlaku, keadaan jalan licin berikutan cuaca hujan.

Katanya, semakan mendapati pemandu lori mempunyai enam saman dengan dua daripadanya sudah dikeluarkan waran dan lori itu mempunyai tiga saman.

“Pemandu lori kini direman selama empat hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan dan akan dituduh di mahkamah dalam masa terdekat. Lori akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM),”katanya.

Mohamad Mansor berkata, jenazah Mohd Hafify selamat dikebumikan pada jam 10.30 pagi tadi di Kampar, Perak dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-BH Online

Komen & Pendapat

Comments are closed.