Membawang Hari Ini

Ayu Puteh tepis dakwaan bakal suami ‘anak ikan’

KUALA LUMPUR: Bakal menamatkan zaman janda pada 7 Januari ini bersama penyanyi baharu, Aiman Ismail, pemilik syarikat Pencil Pictures & Records, Datuk Ayu Puteh, 39, menepis cakap-cakap belakang mengatakan pilihan hatinya itu layak digelar ‘anak ikan’.

Ayu dan Aiman, 27, yang juga artis naungan syarikatnya sendiri, akan dinikahkan di sebuah masjid di Petaling Jaya.

“Selama hidup solo sejak tiga tahun lalu, saya sering didekati dan dihimpit lelaki berstatus hebat, tetapi saya tetap pilih dirinya (Aiman). Bagi saya, dia bukan ‘anak ikan’ dan sifat yang ada padanya memang jauh daripada gelaran sebegitu.

“Sepanjang dua tahun mengenalinya, saya perhatikan hati dan budi pekertinya cukup baik. Kesungguhannya untuk memiliki saya juga dapat dilihat dengan jelas,” kata Ayu yang memiliki empat anak hasil daripada perkahwinan lalu, termasuk dua penyanyi iaitu Wana dan Fian Ali.

Menurut wanita ini lagi, lamaran pertama bakal suaminya itu terlebih dulu ditolak olehnya.

Namun sebagai wanita, beliau tidak mampu menepis keikhlasan dan kesungguhan Aiman untuk memperisterikannya.

“Pada November tahun lalu, lamaran pertamanya ditolak mentah-mentah. Ketika itu saya tak mahu hubungan profesional antara majikan dengan pekerja dianggap lain.

“Selain bergelar artis naungan syarikat saya, dia juga mempromosikan produk kecantikan milik saya. Jadi, saya selalu cakap kepadanya supaya berfikir banyak kali sebelum buat keputusan membabitkan hati.

“Namun, berkali-kali juga dia menegaskan dirinya sangat menyayangi saya. Aiman sedar kedudukannya, tetapi dia tidak mampu menidakkan hatinya yang mula tertawan pada saya. Lalu lamaran kali keduanya Mac lalu saya terima dengan hati terbuka. Seterusnya pada hari keempat Aidilfitri lalu, dia membawa keluarganya untuk meminang saya,” katanya.

Sementara itu, Aiman percaya jodohnya sudah ditentukan Tuhan biarpun tidak pernah terfikir bakal mengahwini wanita berstatus ibu tunggal.

“Saya percaya soal jodoh adalah ketentuan-Nya. Seumur hidup, saya tidak pernah bermimpi atau terbayang akan berkahwin dengan wanita berstatus ibu tunggal, sudah memiliki cahaya mata dan berpangkat tinggi.

“Namun, saya bersyukur Tuhan utuskan saya jodoh begitu. Malah, bakal isteri saya juga sangat baik dan memahami,” katanya yang mengenali Ayu secara profesional sejak tiga tahun lalu.

Majlis bersanding sebelah keluarga pengantin perempuan akan diadakan pada 14 Januari di Gemas, Negeri Sembilan, disusuli keraian oleh keluarga lelaki pada 21 Januari di Ampang, Selangor.

-BH Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");