Jenayah

Balasan Untuk Suami Kejam

KUALA LUMPUR:Perbuatan kejam dan tidak perikemanusiaan lelaki bergelar suami akhirnya terbalas setelah Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Jamaluddin Ali, 43, yang didapati bersalah membunuh isterinya Nurhidayah A Ghani pada Mei 2013.

Suasana ruang Mahkamah turut diselubungi kesedihan selepas seorang wanita memberikan keterangan impak mangsa (VIS) dalam keadaan beremosi menyebabkan segelintir pengunjung di galeri awam menitiskan air mata ketika keputusan kes pembunuhan seorang wanita yang didera hingga maut oleh suaminya.

Umi Kalsom A Ghani, 40, yang juga kakak mangsa, Nurhidayah berkata, kejadian yang menimpa adiknya cukup meruntun jiwa apabila mangsa ditampar, dipijak, dibelasah dan dipukul dengan joran oleh suaminya selama 10 tahun di rumah mereka di Kampung Petaling Bahagia, Batu 5, Jalan Puchong, di sini, pada 2013.

Sementara itu difahamkan Jamaluddin yang berbaju putih hanya tersenyum memandang ke arah beberapa ahli keluarga yang hadir selepas mendengar keputusan dibacakan Hakim Datuk Amelia Tee Hong Geok.

Umi Kalsom ketika VIS itu berkata, ibu dan dirinya sekeluarga boleh menerima hakikat jika Nurhidayah meninggal dunia akibat penyakit, namun sukar menerima kenyataan mangsa maut kerana dibunuh kejam oleh suaminya yang ganas.

“Pada 17 Mei 2013, saya dan ibu, Jamilah Len, 67, pergi ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan doktor memaklumkan Nurhidayah meninggal dunia selain memaklumkan kecederaan dialaminya sangat dahsyat sehingga merosakkan organ dalaman mangsa.

“Keganasan rumah tangga terhadap mangsa sudah lama, malah kami menyimpan lapan hingga 10 salinan laporan polis, tidak termasuk yang hilang akibat tindakan abang ipar yang kerap memukul adik saya,” katanya memetik sumber Harian Metro.

Menurut Umi Kalsom, perbuatan adik iparnya juga meninggalkan kesan trauma terhadap empat anak mereka berusia tujuh hingga 14 tahun kerana keganasan tertuduh di depan mata mereka menyebabkan ada yang tidak mahu berkahwin kerana risau senasib seperti ibu mereka.

Mengikut pertuduhan, Jamaluddin dituduh membunuh Nurhidayah di rumah mereka di Kampung Petaling Bahagia, Batu 5, Jalan Puchong, antara jam 9 malam 15 Mei sehingga jam 9 malam 17 Mei 2013.

Jamaluddin yang dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berdepan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, sebelum ini, tertuduh didakwa membelasah mangsa sehingga tidak sedarkan diri selepas pertengkaran dan mangsa dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di PPUM.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");