Jenayah

Bomba Selamatkan Pemandu Tidur ‘mati’

KUALA LUMPUR:Seorang pemandu kereta jenis (MPV) Toyota Vellfire didapati terlena dalam keretanya sehingga mengakibatkan kesesakan lebih dua kilometer akibat satu lorong di laluan Jalan Duyong menghala ke Bukit Katil, di sini harini.

Dalam kejadian jam 8 pagi, MPV berkenaan telah diparkir di lorong kiri, sekali gus menyebabkan hanya lorong kanan boleh digunakan kenderaan lain setelah dihalang oleh kereta itu.

Pengguna jalan raya bertindak membunyikan hon berkali-kali bagi mengejutkan pemandu berusia 30-an yang tertidur dalam MPV dipandunya bagaimanapun tindakan itu tidak memberikan tindak balas.

Saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Asri, 20-an, berkata, ketika kejadian dia yang bersarapan di warung berhampiran berasa hairan apabila beberapa pemandu mengetuk cermin tingkap MPV berkenaan.

Katanya, selesai bersarapan, dia menghampiri MPV terbabit dan mendapati pemandunya tidur dengan lena tanpa menyedari perbuatan itu menyulitkan pengguna jalan raya lain.

“Saya dan beberapa pemandu lain mengetuk cermin tingkap berkali-kali, tetapi dia tidak juga bangun menyebabkan kami syak dia mengalami serangan jantung atau masalah kesihatan lain.

“Bimbang dengan keselamatan pemandu itu, orang ramai menghubungi talian kecemasan bagi mendapatkan bantuan bomba,” katanya memetik sumber Harian Metro.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu Nor Azmir Othman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.09 pagi.

Beliau berkata, seorang pegawai dan tujuh anggota bersama sebuah jentera kemudian dikejarkan ke lokasi kejadian membantu mengeluarkan pemandu terbabit.

“Kami mendapati lelaki itu lena di tempat duduk pemandu, memang benar dia langsung tidak terjaga walaupun cermin tingkap diketuk dengan kuat berkali-kali hingga ada yang sangka dia sudah meninggal dunia.

“Berikutan itu, kami umpil pintu kiri MPV berkenaan dan mengeluarkan mangsa, namun ketika itu dia belum bangun.

“Lelaki itu kemudian diserahkan kepada pegawai perubatan dan dikejarkan ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

foto/harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");