Sukan Hari Ini

Buru slot Helang Merah

Kuala Lumpur: Ketika pemain sebaya ghairah memburu impian untuk menempatkan diri dalam skuad Projek Sukan SEA 2017 di bawah kendalian Frank Bernhardt, Farhan Roslan (gambar tengah) lebih berminat memberi tumpuan terhadap masa depannya bersama Kedah.

Ini kerana kedudukannya bersama Sang Helang Merah belum stabil walaupun sudah tiga musim diserapkan ke dalam skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu.

Farhan, 20, berkata, buat masa ini dia tidak mahu memikirkan terlalu jauh sebaliknya hanya memberi fokus kepada Kedah demi memastikan mendapat lebih peluang bermain dalam kesebelasan utama berbanding musim sebelumnya.

“Tahun 2017 ini adalah musim keempat saya bersama skuad utama Kedah. Namun, saya belum mampu menempatkan diri sebagai pemain utama. Jadi, sasaran saya untuk musim depan adalah mencari peluang bermain sekerap mungkin, kalau boleh dalam kesebelasan utama.

“Malah, jika diletakkan di barisan pemain simpanan sekali pun, saya harap akan lebih kerap diturunkan sebagai pemain gantian berbanding musim lalu.

“Ini kerana saya sedar, bukan mudah untuk menempatkan diri dalam kesebelasan utama kerana perlu bersaing dengan pemain lebih senior seperti Baddrol Bakhtiar dan Syazwan Zainon. Apatah lagi Kedah menggunakan dua pemain import di bahagian serangan menjadikan saingan bertambah sengit.

“Apa yang perlu saya lakukan sekarang adalah bekerja lebih keras dan menunjukkan prestasi terbaik jika diberi peluang oleh jurulatih. Saya tidak mahu memikirkan soal lain kerana yang lebih penting adalah kedudukan saya dalam pasukan Kedah.

“Peluang bermain dengan pasukan kebangsaan akan datang sendiri jika saya menunjukkan prestasi terbaik bersama Kedah,” ujar Farhan.

Pemain yang digelar Messi Kedah itu mula mencuri tumpuan kerana kelicikan dan kelincahannya di tengah padang hingga dipanggil menyertai skuad kebangsaan dalam satu perlawanan persahabatan ketika berusia 18 tahun pada 2014.

Pada tahun sama, dia turut disenaraikan dalam skuad B-21 kebangsaan. Malah apabila Bernhardt mula membentuk skuad Sukan SEA 2017, Farhan menjadi pilihan utama jurulatih dari Jerman itu.

Namun, sejak kebelakangan ini nama pemain itu semakin tercicir daripada senarai pilihan Bernhardt. Ini mungkin kerana dia jarang mempamerkan kebolehannya kerana lebih kerap memanaskan bangku pemain simpanan Kedah sepanjang musim lalu.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");