Membawang Hari Ini

Cakra Khan perkukuh tapak di Malaysia

NAMA Cakra Khan mula menjadi sebutan selepas single pertamanya, Harus Terpisah berjaya mendapat tempat di hati pendengar.

Bahkan, lagu itu turut memenangi Lagu Serantau Terbaik menerusi Anugerah Planet Muzik 2013 (APM2013).

Lebih bermakna, penyanyi berusia 25 tahun ini turut dinobatkan sebagai pemenang bagi Vokal Terbaik Artis Baru Lelaki.

Terbaru, lagu popularnya itu menerima anugerah 3x platinum melalui pencapaian penjualan muat turun nada dering oleh Sony Music Malaysia.

Terharu dengan penghargaan yang diberikan, Cakra mengakui tidak menyangka perjalanan seninya mampu pergi sejauh itu.

Pada masa sama, pelantun lagu Cintamu Bukan Untukku ini juga mengakui tanggungjawab yang digalas semakin besar dan berat.

“Saya akui agak tertekan selepas diterima baik oleh pendengar, jadi, saya perlu mencari alternatif lain mengekalkan prestasi ini.

“Beban juga semakin bertambah kerana peminat pastinya mengharapkan sesuatu yang lebih baik daripada saya.

“Saya harus pastikan yang terbaik kerana tidak mahu kecewakan peminat yang selalu memberi sokongan,” katanya.

Selain popular dengan lagu Harus Terpisah, Cakra juga terkenal dengan pelbagai lagu terbaik berentak balada seperti Setelah Kau Tiada dan Mengingat Dia serta berkolaborasi dengan penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza melalui lagu Seluruh Cinta,

Kini, pemilik nama penuh Cakra Konta Paryaman ini sibuk mempromosikan single terbarunya, Mencari Cinta Sejati yang menjadi lagu runut bunyi bagi filem Indonesia, Rudy Habibie.

Lebih menarik, klip video lagu tersebut juga ditonton 2.5 juta di You Tube sejak dilancarkan tujuh bulan lalu.

Terkejut dengan peluang yang diberikan, Cakra bagaimanapun bersyukur di atas penghargaan yang diberi untuk mendendangkan karya Melly Goeslaw dan Anto Head itu.

“Jujur, saya tak sangka ditawarkan menyanyikan lagu ini, Apabila diberi kepercayaan, saya terus terima kerana suka lagu ini.

“Ia bukanlah karya mudah untuk dinyanyikan, tetapi saya cuba membuat yang terbaik,” katanya.

Sempena mempromosikan single terbarunya itu, Cakra juga sempat menjayakan ‘open showcase’ di The Boulevard Berjaya Times Square, baru-baru ini.

Album baru?

Pada masa sama, penyanyi bersuara ‘husky’ ini dalam proses pembikinan album terbarunya yang dijangka akan dikeluarkan bulan ini.

Mengulas lanjut, Cakra mengakui album terbarunya itu akan menampilkan sedikit kelainan berbanding sebelum ini.

“Pembikinannya bermula dari awal tahun lalu. Memang ia mengambil masa agak lama.

“Album ini memuatkan pelbagai jenis lagu kerana ia bakal disuntik dengan melodi penuh perasaan yang rancak,” kata peminat setia Coldplay ini.

Katanya, sudah tiba masanya dia melangkah dari zon selesa sekali gus membuktikan kemampuannya menyanyikan pelbagai jenis genre lagu.

Tambahnya lagi, album barunya itu akan memuatkan 10 lagu ilham beberapa komposer pilihannya dan buat masa ini, empat lagu telah siap.

Cakra Khan juga memberitahu, dia kini sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa komposer lain.

Rentetan itu, anak kelahiran Pangandaran, Jawa Barat ini mengakui masih belum mempunyai perancangan untuk mengadakan konsert di negara ini.

Katanya, sebarang perancangan untuk mengadakan konsert akan dirancang selepas selesai pembikinan album terbarunya nanti.

“Buat masa ini, fokus saya hanyalah untuk menyiapkan album terbaru dan baru fikir mengenai konsert,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");