Membawang Hari Ini

Cukur jambul 2 anak selebriti meriah

Sempena menyambut kehadiran orang baru dalam keluarga, baru-baru ini pelakon popular Shukri Yahaya dan Nad Zainal mengadakan majlis cukur jambul dan akikah.

Ternyata sinar kegembiraan dapat dilihat pada wajah kedua-dua pelakon ini yang dibuat dalam majlis berasingan, Ahad lalu. Suasana pada pagi itu riuh rendah dan sesak dengan tetamu yang tidak putus-putus hadir meraikan kehadiran ahli keluarga baru Nad serta Shukri.

Selepas selamat melahirkan anak lelaki Fahad Ibrahim Muhammad Faliq pada 14 Oktober tahun lalu, baru kini Nad Zainal berkesempatan mengadakan majlis akikah dan tahnik.

Menurut Nad atau nama sebenarnya Nadia Nadhirah Zainal Hassan, 27, tarikh itu dirasakan sesuai memandangkan jadual kerjanya kembali sibuk selepas ini.

“Mengikut perancangan asal, saya nak mengadakan majlis itu pada hujung tahun. Namun kebanyakan tempat penuh. Kebetulan hanya 1 Januari saja yang kosong. Jadi saya dan suami sepakat memilih tarikh itu.

“Walaupun banyak keluarga sebelah saya dari Johor tak datang disebabkan persekolahan sudah bermula, alhamdulillah majlis berjalan lancar. Lebih 200 tetamu hadir terdiri daripada sanak saudara, rakan artis dan kenalan rapat,” katanya.

Berkongsi kehidupannya selepas bergelar ibu, Nad mengakui tidak mengalami sebarang kesukaran. Nad yang juga pelakon filem Juvana 2 dan 3 bersyukur apabila mendapat suami dan mentua yang banyak membantu.

“Sepanjang lebih dua bulan ini, saya dan suami sudah tahu menguruskan masa. Walaupun ini pengalaman pertama kami sebagai ibu bapa, tetapi segalanya dipermudahkan. Pada masa sama, Fahad jenis yang tidak meragam dan dia suka tidur.

“Apa saya boleh katakan, Fahad senang dijaga. Kalau dibawa keluar, kami tak perlu risau. Selain itu, Fahad juga mudah menyesuaikan diri dengan persekitaran,” katanya.

Ujarnya lagi, biarpun anaknya masih kecil dia dan suami masih mempunyai masa keluar bersama.

“Kalau kami nak keluar berdua, ibu bapa mentua menawarkan diri untuk menjaga Fahad. Mereka seronok dan teruja nak menjaganya kerana Fahad adalah cucu sulung sebelah keluarga suami. Jadi saya dan suami pun boleh curi-curi masa keluar makan bersama. Lagipun, Fahad jenis tak memilih orang yang menjaganya. Dia selesa dengan sesiapa saja,” katanya.

Berkongsi kerjaya lakonannya, Nad bakal kembali ke lokasi penggambaran bermula 5 Januari ini.

Nad menjelaskan, buat masa sekarang dia lebih memilih berlakon dalam telefilem berbanding drama bersiri yang memerlukan masa yang panjang di lokasi.

“Selepas ini saya terbabit dalam telefilem terbitan Zeel Production lakonan bersama Redza Rosli. Selepas itu satu lagi telefilem lakonan bersama Nam Ron dan Aeril Zafrel. Pada masa sama, saya bakal meneruskan penggambaran travelog yang berbaki enam episod lagi.

“Bukan tak nak berlakon drama, tetapi saya perlu mengambil kira masa. Apatah lagi anak saya masih kecil. Macam berlakon telefilem pun, saya masih memilih. Bukan semua tawaran diterima. Saya memilih naskhah yang bagus dan berbaloi untuk dibuat,” katanya.

Sementara itu, Shukri pula berkata, dia bersyukur kerana majlis akikah dan doa selamat bagi menyambut puteri tercinta, Aaira Ameena yang lahir pada Ogos lalu berjalan lancar seperti dirancang.

Baginya kehadiran lebih 500 tetamu yang terdiri daripada kaum keluarga, rakan-rakan dan sahabat handai sudah cukup memberikan kegembiraan kepadanya.

“Alhamdulillah, Aaira langsung tidak meragam sepanjang majlis berlangsung. Lagipun, dia suka ketawa. Malah apabila bangun dari tidur dia pasti ketawa ketika melihat saya,” katanya .

Berkongsi pengalaman selepas bergelar bapa, kata Shukri ada kalanya dia meletakkan anaknya itu lebih daripada isteri. Namun katanya, sebagai pelakon dia tahu ada pengorbanan yang perlu dilakukan demi memastikan dia ada cukup waktu bersama anaknya.

“Sukar gambarkan apa yang saya lalui kini tetapi memang berbeza daripada dulu selain ada tanggungjawab yang lebih besar untuk dipikul. Sesibuk mana pun bekerja, saya akan pastikan berjumpa anak setiap hari, pernah penggambaran di Kuala Selangor tetapi saya berulang-alik untuk selalu dekat dengan Aaira.

“Malah selepas bergelar bapa saya sudah tetapkan jadual untuk berehat seminggu selepas selesai menjalani penggambaran sebelum menyambung untuk tawaran yang seterusnya bagi menumpukan perhatian terhadap anak,” katanya.

Dia cukup teruja dengan kehadiran Aaira dalam kehidupannya dan isteri, Tya Adnan. Jelas Shukri, dia tidak melihat dengan kemampuan yang dimiliki untuk mewahkan puteri sulungnya itu.

“Kadangkala apabila pasal anak kita jadi ‘lemah’. Namun saya tidak mahu terlalu mewahkan dia sampai perlu membazir dengan membeli benda yang kurang penting. Saya juga tidak mahu manjakan anak dengan penggunaan gajet kelak. Biarlah dia menikmati zaman kanak-kanaknya dengan bermain pasir dan permainan bersesuaian usianya,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");