Jenayah

Dadah Chennai sangkut

Sepang: Dua wanita warga India yang dipercayai daripada sindiket penyeludupan dadah sama ditahan Isnin lalu, ketika cuba membawa masuk dadah jenis Methamphetamine (syabu) seberat 10.7 kilogram (kg) bernilai RM749,000.

Kedua-duanya yang berusia 51 dan 57 tahun masing-masing menaiki pesawat sama iaitu MH0181 dari Chennai, India ke Kuala Lumpur ditahan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 7.45 pagi di pintu masuk utama negara.

Pengarah Kastam KLIA Datuk Hamzah Sundang berkata, mereka ditahan selepas pegawai JKDM KLIA membuat imbasan terhadap bagasi yang dibawa dan menemui objek mencurigakan.

“Hasil imbasan dan pemeriksaan lanjut mendapati terdapat serbuk putih disyaki Methamphetamine disorok di bahagian bawah lapisan beg yang dibawa kedua-dua wanita berkenaan masing-masing seberat 5.35kg bernilai RM374,500.

“Kami syaki kedua-dua wanita ini adalah ahli sindiket yang sama berdasarkan modus operandi (MO) yang digunakan, ini kerana kuantiti dadah yang dibawa sama, malah warna bagasi yang dibawa juga hampir sama,” katanya pada sidang media di Kompleks Kastam KLIA di sini, semalam.

Hamzah berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua mereka sudah beberapa kali berulang alik dari India ke Kuala Lumpur sejak 2015.

“Bagaimanapun, kita tidak tahu sama ada kemasukan mereka sebelum ini untuk tujuan sama atau sebaliknya kerana siasatan lanjut masih dijalankan.

“Siasatan juga mendapati dadah yang dirampas adalah untuk pasaran Malaysia dan bukan untuk ditransit ke negara lain,” katanya sambil memaklumkan ia adalah tangkapan dan rampasan pertama tahun ini.

Menurutnya, kedua-dua kes ini disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952, dan jika disabitkan kesalahan mereka boleh dihukum gantung sampai mati mandatori.

Katanya, dari 2014 hingga 2016, JKDM KLIA sudah merekodkan 95 kes rampasan dadah dan 58 individu ditahan untuk membantu siasatan.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");