Sukan Hari Ini

Dua juta bakal saksi Piala Khir

KEJOHANAN Sepak Takraw Kebangsaan Piala Emas Khir Johari (PEKJ) Ke-53 yang baru dipinda ke 25 hingga 29 Januari ini berbanding jadual asal, 11 hingga 15 Januari dijangka mampu mencatat kadar tontonan siaran langsung televisyen yang mencecah dua juta orang di seluruh negara.

Angka itu diramalkan berulang seperti mana pertembungan juara Divisyen Perdana, Penang Panthers dengan Terengganu Turtles dalam Liga Sepak Takraw (STL) yang turut menarik kehadiran lebih 3,000 peminat yang memenuhi segenap ruang Stadium Majlis Perbandaran Subang Jaya, Serdang Jaya, .

“Sekitar 900,000 orang dicatat menonton Grand Prix 1Malaysia (September) dan 1.2 juta penonton menyaksikan siaran langsung TV perlawanan Panthers-Turtles dalam pusingan kedua STL 2016 (2 Disember lalu).

“Angka tertinggi ini dikatakan turut mengatasi kadar tontonan segelintir sukan popular Malaysia,” kata Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail ketika berucap membuka Mesyuarat Agung Tahunan PSM 2016 di sebuah hotel di Putrajaya, baru-baru ini.

Acara berpasukan tertua

PEKJ Ke-53, sebuah pertandingan berpasukan tertua di dunia dan diasaskan pada 1962 serta hanya terbuka kepada kesemua 18 ahli gabungan PSM, turut akan dilangsungkan di Stadium MPSJ seperti mana STL (antara regu) dan Grand Prix 1Malaysia (berpasukan senior dan belia).

Pulau Pinang merupakan juara bertahan dengan merangkul trofi itu semula selepas tahun pengenalannya (mengalahkan Singapura 3-0), apabila menewaskan Selangor 2-0 (18-21, 21-14, 21-14) dan (21-19, 22-20) pada 28 Februari 2016 di Kompleks Kejiranan Putrajaya.

Ahmad atau turut digelar Tok Mat, menafikan pindaan tarikh PEKJ itu ada kaitannya dengan sebutan kes doping dan boikot pemain dan pegawai pasukan negara di depan Panel Tatatertib Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) di pejabat Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Thailand, Bangkok pada 11 Januari ini.

“Pindaan ini tiada kaitan dengan sebutan kes Istaf di Bangkok itu tetapi sebagai memenuhi permintaan stesen TV untuk jadual siaran langsung (separuh akhir dan perlawanan akhir) malah akan memberikan 18 ahli gabungan kami masa dan peluang membuat persiapan yang lebih rapi dan secukupnya (selepas STL berakhir 18 Disember lalu).

Sembilan pemain dan tiga pegawai pasukan negara didakwa melanggar Artikel 2.3 dan 2.9 Kod Antidoping Istaf 2015 dan bagi boikot, Peraturan 15.3 Undang-undang Sepak Takraw Istaf 2013 ketika Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand Ke-31 di Pusat Beli-belah Fashion Island, Bangkok, Oktober lalu.

“Mungkin sebagai ganti pada 11 hingga 15 Januari itu, kami akan cuba melangsungkan sebuah kejohanan lain, Grand Prix 1Malaysia kerana Stadium MPSJ itu sudah pun ditempah. Ini saya serahkan kepada Jawatankuasa Pertandingan PSM,” katanya yang juga Timbalan Presiden I Istaf dan Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf).

Sementara itu katanya, sepak takraw Sukan Sea Kuala Lumpur Ke-29, 2017 dari 19 hingga 31 Ogos ini bakal dilangsungkan di gelanggang tradisinya – Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur dan bukan lagi di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa (MITEC) juga di ibu kota yang dicalonkan pada mulanya.

Stadium Titiwangsa yang mampu menampung lebih 5,000 penonton itu turut pernah menjadi tuan rumah sepak takraw Sukan Sea Kuala Lumpur 2001 selain Piala Dunia Istaf Pertama 2011 dan Siri Super Istaf Pusingan Akhir 2013-2014, berbeza di MITEC yang hanya sekitar 800 orang pada sesuatu masa.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");