Jenayah

Duit beli lembu RM20,000 jadi lebur [METROTV]

Bukit Mertajam: Wang tunai RM20,000 disimpan seorang lelaki untuk membeli lembu bagi tujuan korban pada sambutan Aidiladha rentung selepas rumahnya terbakar di Kampung Padang Ibu, Penanti, di sini, malam kelmarin.

Mangsa Othman Din, 56, berkata, dalam kejadian pada jam 7.45 malam itu, selain wang tunai, dia juga gagal menyelamatkan beberapa dokumen penting lain dan menganggap ia sebagai dugaan tahun baru buat dirinya sekeluarga.

“Walaupun terlalu berat, kami redha dan perlu muhasabah diri dengan apa yang terjadi. Kejadian ini berlaku dengan pantas dan hanya disedari cucu saudara saya yang tinggal berhampiran rumah,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, ketika itu dia berehat di ruang tamu rumah sementara menantikan berita di televisyen.

Othman berkata, tiba-tiba cucu saudaranya itu mengetuk pintu rumah dan memaklumkan ternampak api di bilik sembahyang rumah yang sudah didiami sejak 40 tahun lalu.

“Anak saya cuba memadamkan api dengan menyimbah air namun api terus marak dengan cepat dan saya segera mengarahkan menantu dan cucu keluar dari rumah.

“Saya tinggal di rumah berkenaan bersama anak lelaki, menantu dan dua cucu berumur empat dan dua tahun,” katanya.

Menurutnya, dia kemudian menghubungi pihak bomba sejurus selepas itu namun api terlalu marak sehingga memusnahkan hampir keseluruhan rumah termasuk wang tunai RM20,000 yang disimpan di dalam biliknya.

Katanya, setiap tahun dia akan mendahulukan wang sendiri untuk membeli beberapa ekor lembu sebelum saudara mara dan kenalan membayar kepadanya.

“Apapun, saya bersyukur kerana tiada yang cedera dalam kejadian itu dan jumlah kerugian dianggarkan RM100,000,” katanya yang bekerja sebagai warden di sebuah kolej swasta di Perai.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Perda, Hadzi Mohd Yusof berkata, bomba menerima panggilan pada jam 7.59 malam dan tiba 15 minit kemudian.

“Rumah berkenaan musnah 80 peratus dan bomba mengambil masa 30 minit untuk mengawal serta memadam kebakaran. Pihak kami masih menyiasat punca kebakaran serta kerugian ditanggung mangsa,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");