Membawang Hari Ini

Fadzli mahu jadi orang kaya

Setiap kali tibanya tahun baru, sesiapa saja mengharapkan ia akan membawa lebih kebaikan, kejayaan dan kebahagiaan hidup.

Doa sama dipanjatkan Ahmad Fadzli Abd Aziz atau Fadzli yang juga bekas anggota kumpulan nasyid UNIC. Dia yang kini bergerak sendirian untuk memacu impiannya menjadi pengacara yang berjaya, penceramah berkaliber, pakar motivasi yang dihormati, perunding imej disegani dan pengusaha produk minda bertaraf jutawan.

Apabila ditanya apakah azam dan impian yang cuba dicapainya tahun ini, sepantas kilat dia menjawab mahu menjadi orang kaya. Namun katanya, jangan salah faham kerana dia mahu jadi kaya bukan untuk bermegah dan Islam juga tidak melarang umatnya mencari harta asalkan ia boleh membawa kebaikan.

“Saya mahu berbakti kepada agama dan membantu masyarakat terutama anak yatim. Ia adalah pelaburan saya di dunia untuk mendapatkan saham di akhirat nanti. Sekarang pun tanpa sumber kewangan, menerusi syarikat sendiri, Triexcel Wonder Sdn Bhd, saya bersama rakan sudah mulakan projek Smart Usrati atau Smart Family bertujuan membekalkan ilmu keibubapaan mengenai pendidikan anak.

“Mereka perlu tahu per­kembangan emosi anak dan potensi mereka agar kita sebagai orang tua dapat membantu serta menyokong anak-anak untuk mencapai cita-cita mereka. Kami bergerak dari masjid ke masjid dan berharap dapat menjelajah ke setiap masjid untuk berjumpa masyarakat di seluruh negara.

“Jadi, saya berharap akan mendapat rakan penaja yang sanggup membantu kami kerana masyarakat yang berilmu akan dapat membentuk anak yang berhati waja seterusnya menjadi insan cemerlang,” katanya.

Menurut Fadzli, dengan adanya penaja pelbagai program dapat dilaksanakan lagi.

Dalam perkembangan lain, Fadzli yang juga pengacara rancangan Assalamualaikum di TV AlHijrah, bersiaran dari jam 8 pagi hingga 10.30 pagi sudah hampir lima tahun wajahnya muncul di stesen TV itu.

Semakin menyenangi tugasannya itu, selaku stesen TV yang bercorak Islamik ia mampu menambah ilmu dan percambahan minda Fadzli sendiri.

“Sebagai penceramah dan pakar motivasi saya perlu ada ilmu yang luas dalam pel­bagai perspektif,” katanya.

Simpati mangsa tipu agensi umrah

Fadzli yang sudah dua kali mengerjakan umrah bersimpati dengan nasib yang menimpa bakal jemaah umrah yang terpaksa ‘berputih mata’ kerana ditipu agensi umrah.

“Bagi kebanyakan orang, bukan mudah untuk mengumpul wang pergi ke Makkah dan apabila ada tawaran menarik dengan harga yang lebih murah kurang daripada RM4,000 pasti ia peluang keemasan untuk mereka. Secara logiknya harga sebanyak itu hanya untuk tiket penerbangan saja. Harga pakej yang terlalu rendah cuma tipu muslihat agensi yang berniat jahat.

“Kepada mereka yang mahu mengerjakan umrah, pergi terus ke agensi umrah tanpa melalui orang tengah. Pergi ke pejabat agensi itu untuk memastikan ia benar-benar wujud dan menjalankan perniagaan yang betul.

“Bagi agensi umrah pula, jangan terlalu mengambil kesempatan terhadap bakal jemaah. Saya pernah ke umrah atas tajaan satu agensi yang turut disertai keluarga dan saudara-mara. Hotel penginapan di Makkah terletak jauh daripada Masjidil Haram kira-kira satu kilometer.

“Saya pula kena menolak kerusi roda ibu saudara saya. Bayangkan dengan jalan yang tidak rata kami terpaksa berulang-alik dari hotel ke masjid sebanyak lima kali (solat lima waktu). Kepada anak yang mahu menghadiahkan ibu bapa pakej umrah perlu teliti dari segala aspek agar tidak menyusahkan mereka untuk beribadah di sana nanti,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");