Berita Hari Ini

Felda Sambut Baik Siasatan SPRM

KUALA LUMPUR:Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menegaskan bahawa Felda menyokong usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membanteras salah laku rasuah dengan penahanan pegawai kanannya.

Malah jelasnya ia adalah selaras dengan usaha Felda menjalankan urus tadbir telus dan berintegriti.

“Siasatan dijalankan adalah perlu untuk ‘membersihkan’ Felda,”katanya memetik sumber Sinar Harian.

Tambah Shahrir pada 1 Januari 2013 lalu, Felda telah menubuhkan Unit Pengurusan Transforvasi bagi mewujudkan pelbagai aktiviti perniagaan berpendapatan tinggi dan antaranya ialah Projek Ternakan Ikan Sturgeon.

Katanya, pada 4 Julai tahun sama, Lembaga Felda telah meluluskan cadangan projek penternakan ikan itu secara dasar tertakluk kepada kajian terperinci yang perlu dibentang kepada Lembaga Felda bagi kelulusan.

“Walau bagaimanapun, pengurusan Felda pada masa itu tidak membentangkan laporan kajian terperinci projek kepada Lembaga Felda sebelum projek ini diteruskan.

“Felda Caviartive Sdn Bhd (FCSB) telah ditubuhkan pada 7 Januari 2014 dan menandatangani perjanjian dengan dua syarikat Korea malah turut melaksanakan kerja-kerja reka bina serta kerja sivil di lokasi projek sekitar Kuala Tahan pada Mac 2014,” katanya.

Namun begitu, katanya, pada 5 Februari 2015, Jabatan Alam Sekitar Pahang tidak meluluskan tapak projek di Kuala Tahan.

Menurutnya, berikutan perjalanan operasi perniagaan meragukan, Lembaga Felda telah meluluskan penubuhan jawatankuasa khas pada Julai 2014 untuk menilai serta mengkaji semula operasi syarikat subsidiari di bawah Unit Pengurusan Transforvasi.

“Unit Pengurusan Transforvasi dibubar Februari 2015 dan kesemua projek unit itu dipantau Bahagian Pelaburan, Jabatan Kewangan Felda,” katanya.

Shahrir turut memaklumkan bahawa Felda telah melantik juru audit luar pada 23 Mac 2015 untuk melaksanakan kajian positive review ke atas projek tersebut.

Katanya, antara hasil penemuan adalah ketidakpatuhan kepada manual dasar dan strategi pelaburan Felda, kelemahan tadbir urus serta kelemahan di dalam pelaksanaan dan pemantauan projek.

“Sebuah firma guaman dilantik untuk melaksanakan legal review pada 19 Ogos 2015 dan keputusannya telah dibentangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengarah pada 2 Februari 2016 untuk tindakan sewajarnya,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");