Berita Hari Ini

Grab Beri Amaran Tamat Khidmat Pemandu Jadi ‘Sesumpah’ Di KLIA/KLIA2

PETALING JAYA: Syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing, Grab Malaysia memberi amaran untuk menamatkan khidmat pemandunya yang gagal mematuhi peraturan ketika beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 di Sepang.

Ketua Negara Grab Malaysia, Jaygan Fu berkata, pihaknya tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang penipuan atau pemandu yang menjejaskan kepercayaan pelanggan dalam perkhidmatan dan aplikasi tempahan itu.

Katanya, isu penipuan dan pemandu yang tidak beretika menjejaskan pendapatan dan kehidupan rakan sekerja yang berusaha keras dengan menjadikan operasi Grab sebagai punca pendapatan.

“Kami sedang menyiasat perkara ini dan tindakan akan diambil terhadap mereka yang terlibat dalam aktiviti penipuan.

“Tindakan ini termasuk terus menyingkirkan mereka dari perkhidmatan kami secara tetap,” katanya dalam kenyataan kepada mStar Online.

Syarikat itu mengulas pendedahan mStar Online mengenai tindakan kelompok pemandu Uber/Grab yang sanggup bertukar status menjadi ‘ulat’ untuk mendapatkan penumpang di KLIA dan KLIA2 bagi mengaut untung bersih.

Portal berita ini menamakan kelompok pemandu ini sebagai ‘sesumpah’ bagi membezakannya dengan ‘ulat’ sedia ada, sesuai dengan sifat haiwan itu yang sering berubah-ubah mengikut persekitaran.

Jaygan berkata, semua pemandu Grab melalui latihan dan pemeriksaan yang ketat dalam memberi perkhidmatan kepada penumpang.

Beliau menambah, pemandu juga perlu mematuhi peraturan ketat, termasuk tidak mengenakan caj berlebihan berbanding yang dinyatakan di dalam aplikasi.

“Kami menyeru semua penumpang untuk menggunakan hak mereka bagi mendapat perkhidmatan yang selamat, selesa dan berpatutan.

“Pelanggan juga dinasihatkan supaya menghubungi talian hotline 1300 80 5858 atau emel kepada [email protected] sekiranya berlaku situasi seumpamanya bagi membolehkan syarikat campur tangan dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut meminta pemandu lain supaya membuat laporan sekiranya mereka mengesan insiden berkenaan.

“Sebarang maklum balas yang diterima akan membantu kami untuk terus meningkatkan kualiti perkhidmatan.

“Objektif utama Grab adalah menyediakan perkhidmatan yang selesa, selamat, mudah dan berpatutan kepada penumpang sambil menimbangkan kebajikan pemandu,” katanya.

Terdahulu, Uber Malaysia memberitahu pihaknya sedang menjalankan siasatan bersama pihak berkuasa berkaitan berhubung insiden pemandunya yang menjadi ‘sesumpah’ di KLIA dan KLIA2.

-mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");