Beijing:Polis trafik robot telah digunakan di sebuah bandar raya di China dalam usaha untuk menangkap pejalan kaki yang melanggar peraturan lalu lintas.
Robot itu yang ditempatkan di persimpangan jalan di bandar Xiangyang di wilayah Hubei, tengah China, diprogramkan untuk menahan dan memberitahu pejalan kaki yang melanggar lampu isyarat.
Malah pihak berkuasa tempatan berharap dengan adanya pegawai trafik robot itu ia dapat membetulkan tabiat buruk penduduk bandar berkenaan ketika melintas jalan.
Penduduk China memang terkenal dengan sikap buruk di jalan raya, termasuk melintas bila-bila masa tanpa mempedulikan lampu isyarat.
Robot berkenaan lengkap dengan fungsinya menghantar isyarat menerusi tindak balas tangannya, memberi amaran lisan kepada pejalan kaki dan nyalaan lampu sebagai peringatan memetik laporan Harian Metro.
Sementara itu kepalanya pula berfungsi sebagai kamera pengawasan yang boleh merakamkan kesalahan yang dilakukan pejalan kaki.
Semua rakaman akan disimpan sebagai bukti apabila kemalangan berlaku.
Polis juga akan menggunakan rakaman itu sebagai rujukan jika mereka perlu mendenda pejalan kaki yang tidak mematuhi undang-undang.