Berita Hari Ini

Harus keluar rumah jika terancam

KANGAR – Muzakarah Majlis Fatwa Negeri Perlis ke-24 bersidang pada 20 dan 21 Disember lalu memutuskan hukum isteri meninggalkan rumah suami disebabkan ancaman adalah harus.

Mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, fatwa baru itu dibuat setelah dapati masyarakat Islam kadangkala isteri terlalu taat sehingga ada yang dipukul, ada anak diseksa tetapi tidak melarikan diri kerana takut dianggap nusyuz atau derhaka.

“Ini semua dirujuk dan diberi pandangan sebahagian golongan ulama bahawa sekiranya apa yang berlaku pun kena taat pada suami.

“Ini juga menyebabkan ada kes-kes lain seperti isteri walaupun tahu suami terlibat dengan pengedaran dadah, dia tetap berada di rumah suami sehingga apabila polis datang buat serbuan isteri turut ditangkap kerana melindungi atau berada di tempat disembunyikan dadah.

“Kadangkala ada isteri yang suami tak pulang lama, tak bagi nafkah, dia duduk menderita dan masih tidak keluar daripada rumahnya, rumah ibu bapa atau ke tempat lain yang lebih selamat. Ini kerana mereka menyangka agama tidak membenarkan keluar daripada rumah suami,” katanya.

Menurutnya, pada asalnya isteri tidak boleh keluar daripada rumah suaminya iaitu rumah kehidupan pasangan suami isteri yang disediakan oleh suami melainkan dengan izin suami kerana suami merupakan pelindung, pembimbing dan ketua keluarga di mana isteri berada di bawah tanggungjawabnya.

“Jika isteri boleh berada di mana-mana sahaja tanpa keizinan suami tentulah peraturan rumah tangga tidak akan wujud dan pergaulan baik antara suami isteri tidak akan berlaku dalam erti kata yang sebenar.

“Namun begitu jika sekiranya isteri pada anggapan yang kuat, merasakan agama, diri, kehormatan, keluarga atau keluarganya berada dalam keadaan bahaya yang diiktiraf syarak, tidak mempunyai jalan keluar dan tidak mampu untuk ditanggung jika terus berada di rumah suami, maka isteri diharuskan keluar sekalipun tanpa keizinan suami,” katanya.

Tegasnya, langkah itu hanya dibenarkan setelah isteri benar-benar mendapati tiada langkah penyelesaian melainkan keluar meninggalkan rumah suami.

“Begitu juga jika suami gagal menunaikan tanggungjawab menyediakan tempat tinggal yang selamat dan sesuai atau nafkah yang mencukupi, maka isteri boleh keluar rumah tanpa mendapatkan izin suami dan tidak dikira nusyuz sehingga suami dapat menunaikan tanggungjawabnya.

“Ini penting untuk mempertahankan hak kaum wanita kerana ramai orang merasakan ada diskriminasi jantina dalam hukum rumah tangga, sebenarnya tidak. Kita lihat kepada dalil-dalil agama, agama membela yang ditindas,” katanya.

Ertinya, dengan fatwa ini isteri apabila rasa terancam seperti mana yang disifatkan dia boleh keluar daripada rumah suami, sama ada pulang ke rumah ibu bapa dia ataupun cari tempat perlindungan yang selamat.

Mohd Asri juga meminta supaya fatwa itu dapat digazet oleh Mahkamah Syariah supaya apabila ada kes-kes membabitkan isteri lari meninggalkan rumah, tidak boleh dianggap sebagai satu kesalahan kepada isteri.

“Agama tidak boleh digunakan untuk mengsiknifikasikan kezaliman suami terhadap isteri,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");