Berita Hari Ini

IPT Perlu Rujuk Kerajaan Sabah Sebelum Buat Kajian

KOTA BELUD: Institusi pengajian tinggi (IPT), termasuk IPT awam, perlu merujuk kepada kerajaan Sabah jika mempunyai rancangan untukmembuat sebarang kajian di negeri ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata langkah itu bagi menentukan kajian tersebut tidak menjejaskan kawasan yang dikaji, termasuk alam sekitar dan ekonomi penduduk setempat.

“Walaupun tujuannya itu (kajian) amat baik, tetapi kalau ia boleh merosakkan keadaan kawasan tersebut, ia tidak akan mencapai matlamat kajian.

“Kita harus mengambil pendekatan bahawa apa sahaja yang kita lakukan,haruslah mendapat sokongan padu penduduk setempat,” katanya ketika ditemui pemerita pada majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina Kapitan Cina Kota Belud Datuk Andy Chua pada Sabtu.

Salleh, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Usukan, diminta mengulas kajian arkeologi di dua lokasi kapal perang Jepun yang tenggelam di Teluk Usukan dekat sini awal bulan ini, yang dikatakan tidak dirujuk kepada kerajaan negeri.

Universiti Malaysia Sabah (UMS), yang menjalankan kajian itu bersama sebuah syarikat tempatan Ugeens Berjaya Enterprise, mendakwa terdapat kira-kira 3,000 tan bahan toksik di lokasi kajian tersebut.

Pada Rabu (25 Jan), Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun mengarahkan kajian itu dihentikan serta-merta sehingga perundingan antara UMS dengan kementerian berkaitan diadakan.

Salleh turut bersetuju dengan tindakan kerajaan negeri untuk menghentikan kajian tersebut agar tidak menimbulkan masalah atau kerosakan kepada alam sekitar.

“Di negeri ini, kita memberi tumpuan kepada pelancongan sebagai sektor yang perlu kita perhebatkan kerana sektor pelancongan ini aset kepada Sabah.

“Antara yang kita beri penekanan ialah alam semula jadi dan sebarang tindakan yang boleh membawa kerosakan sedemikian haruslah dijalankan dengan berhati-hati,” katanya.

-Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");