Berita Hari Ini

JKKN lancar program Seni @ Kasih

JABATAN Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) melancarkan Program Seni @ Kasih dalam menyemarakkan dan membangunkan seni dan budaya dalam komuniti sekitar Chow Kit.

Buat permulaan program itu akan berlangsung di Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih di Chow Kit yang menekankan pengajaran ilmu pementasan teater bermula Februari ini hingga Disember depan.

Sekolah tersebut yang menyediakan pembelajaran percuma untuk kanak-kanak berusia empat hingga 19 tahun, diwujudkan atas inisiatif Kementerian Pendidikan untuk memberikan akses pendidikan kepada kanak kanak jalanan di sekitar Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah JKKN, Tan Sri Norliza Rofli berkata, terdapat lima fokus pelaksanaan yang akan dijalankan sepanjang program itu di sekolah berkenaan, melibatkan sesi pengajian tarian, muzik, nyanyian, teater dan asas audio.

Katanya, seramai 10 tenaga pengajar daripada JKKN akan dibekalkan untuk mendidik pelajar sekolah itu dua kali seminggu.

“Program ini merupakan satu landasan untuk golongan gelandangan kecil menikmati dan menghayati kepelbagaian seni dan budaya yang berkaitan dengan pola kehidupan.

“Saya berharap dengan adanya program ini, ia akan dapat memupuk minat pelajar dan masyarakat gelandangan terhadap seni dan budaya di samping dapat melahirkan bakat baharu,” katanya selepas merasmikan program berkenaan, baru-baru ini.

Norliza berkata, di penghujung program itu, pelajar yang terlibat akan membuat satu persembahan di khalayak ramai untuk melihat sejauh mana program tersebut dapat mencorakkan pelajar sekolah berkenaan.

Tambahnya, JKKN sentiasa peka mencari inisiatif untuk memberi nilai tambah, pembaharuan ke arah transformasi kepada perkembangan seni budaya tanah air melalui usaha sebegini.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");