TUMPAT: Cubaan seorang lelaki untuk menyeludup 20 tong petrol ke negara jiran melalui sungai Golok gagal apabila tindakannya itu disedari Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam, petrol itu dibawa dengan kereta dan kemudiannya diturunkan di pangkalan haram Tualang.
Pegawai Pemerintah PPM Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Ahmad Amri Abd Rahman berkata, penyeludup itu berjaya melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota PPM.
Menurutnya, kejadian itu berlaku ketika bot ronda PSC 25 menjalankan tugas operasi di kawasan tersebut.
“Ketika itu, anggota PPM nampak kelibat seorang lelaki yang mencurigakan sedang memunggah sesuatu dari sebuah kereta.
“Lelaki itu kemudiannya melarikan diri dengan kereta sebaik menyedari kehadiran anggota PPM,” katanya.
Ahmad Amri berkata, pemeriksaan lanjut menemui 20 tong petrol sebanyak 600 liter bernilai RM1,260 ditinggalkan di pangkalan itu.
Katanya, tong-tong berisi petrol itu dirampas dan dibawa ke markas operasi PPM Pengkalan Kubor dan disiasat di bawah Akta Polis 1967.
Semalam dilaporkan PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor merampas 22 tong petrol bernilai RM1,386 disyaki cuba diseludup keluar ke negara jiran dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Banjir, di sini.
-Sinar Harian