Sukan Hari Ini

KBS-MAM Kapcai Endurance bermula hujung minggu ini

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) mengajak peminat sukan dua roda untuk sekali lagi memperagakan kemahiran dan bakat masing-masing dalam edisi kelima kejohanan KBS MAM Kapcai Endurance.

Tiga pusingan kelayakan dan satu pusingan akhir dalam saingan Kejohanan Kebangsaan KBS-MAM Kapcai Endurance 2017 itu dijadual bermula di Litar Speedway PLUS, Lebuh Raya ELITE, Subang, hujung minggu ini.

Mereka yang tidak berkesempatan menyertainya pada pusingan pertama ini bagaimanapun masih boleh bersaing pada pusingan kedua di Litar Go Kart Sepang, 25 dan 26 Februari ini. Pusingan ketiga akan diadakan di Litar Tangkak dengan tarikh pertandingan akan diumumkan kelak.

“Pusingan akhir akan diadakan di Litar Antarabangsa Sepang pada 28 dan 29 April ini sebagai acara sokongan untuk pusingan kedua perlumbaan Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) yang dianjurkan SIC,” kata MAM dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, seperti edisi lalu, pelumba akan bersaing dalam empat kelas dengan pilihan sama ada untuk mempunyai dua, tiga atau empat pelumba dalam sesebuah pasukan.

Empat kelas yang dipertandingkan adalah Kelas 1 untuk jentera ‘underbone’ di bawah 100cc; Kelas 2 untuk jentera di bawah 120cc dan Kelas 3 untuk jentera di bawah 150cc.

Kelas Terbuka diadakan bagi memastikan saingan setara untuk semua kelas ataupun ‘level playing field’ di mana pelumba berpengalaman diletakkan di dalam satu kumpulan dan bersaing menggunakan jentera bawah 150cc.

Pasukan terbaik daripada setiap pusingan akan layak ke pusingan akhir untuk dinobatkan Raja KBS-MAM Kapcai Endurance 2017.

-BH Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");