Sukan Hari Ini

Kelantan buka pusat latihan atlet para

KELANTAN menjadi negeri pertama dipilih Majlis Sukan Negara (MSN) membuka Pusat Latihan Atlet Para khusus untuk golongan orang kurang upaya (OKU), bermula tahun ini.

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha berkata, pusat latihan yang dikendalikan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Kelantan itu pertama diwujudkan oleh MSN sebelum dibuka di negeri lain selepas ini.

“Sebagai permulaan, pusat latihan ini akan memberi tumpuan terhadap lima sukan teras iaitu olahraga, badminton, powerlifting, ping pong dan memanah. Kita mengucapkan terima kasih kerana memberi keutamaan dengan memilih Kelantan.

“Saya harap ibu bapa yang mempunyai anak kurang upaya, bawalah ke pusat latihan ini untuk mengilap bakat mereka dalam bidang sukan kerana seperti kita tahu sukan para ini sama taraf dengan orang normal,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pusat Latihan Atlet Para di Kompleks Belia dan Sukan di Kota Bharu, semalam.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Paralimpik MSN, Mohd Safrushahar Yusoff, Pengarah JBS negeri, Mohd Salleh Ramli dan Pengarah MSN Kelantan, Datuk Mohamad Noordin Awang.

Katanya, negeri itu tidak ketandusan dalam melahirkan atlet berbakat dan ia dibuktikan apabila lapan atlet para mereka terpilih mewakili negara pada Sukan Para Asean di Kuala Lumpur, September nanti.

Menurutnya, pusat latihan itu turut membuka ruang kepada golongan OKU untuk berlatih di bawah jurulatih berpengalaman sama ada secara sepenuh masa, separuh masa, latihan hujung minggu atau pun latihan secara berkala.

“Dari segi fasiliti, itu akan disediakan oleh JBS namun MSN Kelantan turut memainkan peranan membantu dan saya fikir kolaborasi dua agensi di bawah satu kementerian (Kementerian Belia dan Sukan) itu amat bagus untuk meningkat kecemerlangan atlet para di negeri ini,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");