Membawang Hari Ini

Kembang bakat di Indonesia

Pelakon dan pengacara berbakat, Zoey Rahman sanggup berulang-alik ke Indonesia demi mengembangkan bakat seni di negara seberang.

Menurut pemilik nama sebenar Mohd Hairey Azhar Abd Rahman, 31, sebagai persediaan dia belajar bahasa Indonesia bagi memudahkan diterima di sana.

“Saya akui bukan mudah menembusi pasaran seni Indonesia kerana persaingan sangat sengit.

“Namun, bersandarkan bakat dan kerja keras, saya yakin akan diterima di sana.

“Saya juga sanggup bermula dari bawah dengan menghadiri pelbagai uji bakat komersial, pengacaraan dan lakonan.

“Pada masa sama, saya turut mendapat sokongan rakan artis di sana,” katanya.

Zoey berkata, dia ada pengurus yang menguruskan karier seninya di Indonesia.

“Saya sudah berhabis puluhan ribu ringgit demi mencari peluang kerja di sana.

“Selain program hiburan Pesbukers dan The New Eat Bulaga, saya pernah menjadi model untuk klip video Kleo Band. Saya juga sudah mula menjayakan projek sinetron dan kini menunggu slot untuk tayangan di kaca TV.

“Banyak ilmu saya belajar sepanjang bekerja dengan produksi Indonesia. Selain suasana berbeza pastinya bayaran untuk lakonan dan komersial lebih lumayan. Sama ada artis gred A atau B, semuanya perlu menghadiri uji bakat kerana mereka inginkan kualiti terbaik.

“Sinetron pula walaupun baru selesai penggambaran pada sebelah pagi, ia sudah bersiaran di TV keesokan harinya. Ia membabitkan ratusan episod dan bergantung pada rating,” katanya.

Muntah ulat berbau busuk

Walaupun sibuk mencipta nama di Indonesia, Zoey masih memenuhi undangan berlakon dan mengacara di negara ini.

Ternyata, dia masih mendapat kepercayaan penerbit drama dan filem tempatan.

“Syukur, tawaran bekerja di sini tidak pernah putus. Antaranya saya terbabit dalam drama adaptasi novel untuk stesen Astro.

“Terbaru, saya mempertaruhkan lakonan dalam filem seram Aku Haus Darahmu (AHDM) yang akan menggegarkan pawagam tempatan bermula 2 Februari nanti.

“Dalam filem arahan Aidilfitri Mohamed Yunos ini, saya bergandingan dengan aktres Deanna Yusoff, Nad Zainal dan Sweet Farhanna,” katanya.

Bercerita mengenai wataknya dalam filem itu, Zoey tampil sebagai lelaki penakut.

“Apa yang mencabar, saya perlu makan ulat berbau busuk dan hanyir sampai muntah dalam salah satu babak.

“Baunya saja sudah buat saya berasa loya. Selain itu penggambaran makan masa yang lama kerana mahukan yang terbaik.

“Saya juga menimba pengalaman berharga berlakon dengan Deanna kerana dia nampak tegas tetapi merendah diri di lokasi,” katanya.

Selain mengembangkan bakat dalam bidang seni, Zoey turut memasarkan produk kecantikannya di negara jiran.

“Bagi saya bidang ini sebagai jaminan masa depan. Maklumlah, semakin ramai artis baru muncul dan andai tiada tawaran satu hari nanti, saya ada sumber pendapatan lain,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");